Rabu, 27 March 2019 | 12:41pm
PELAKON dan penyanyi, Erra Fazira, bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Menangkah Cinta hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan Imran Imran. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Erra gementar rakam lagu baharu

KUALA LUMPUR: Hampir sedekad tidak merakamkan lagu baharu, Erra Fazira mengakui agak gementar ketika kembali ke studio untuk menyempurnakan rakaman single, Menangkah Cinta.

Menerima sentuhan Hafiz Hamidun, manakala lirik Iman Imran, Erra, 45, berkata dia mengambil sedikit masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan persekitaran di studio rakaman.

“Hafiz memahami situasi saya yang sudah lama tidak masuk studio. Dia memberikan saya ruang untuk terlebih dahulu membiasakan diri dengan suasana di studio supaya saya selesa.

“Caranya bekerja di studio juga sangat berhemah, membuatkan saya tidak kekok. Cuma mungkin disebabkan sudah lama tidak merakamkan suara, saya jadi serba tidak kena.

“Alhamdulillah, dia banyak membantu dan memudahkan proses rakaman. Hafiz tahu apa yang dia inginkan, terutama dari segi penyampaian dan penghayatan. Ia membuatkan saya selesa meskipun inilah pengalaman pertama kami bekerjasama,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu berkata, single terbarunya yang dirakamkan pada 20 Mac lalu dijangka menemui peminat Julai depan.

“Lagu ini diilhamkan daripada novel tulisan Iman Imran yang menggunakan judul sama.

“Dari segi penyampaian, ia boleh dikatakan agak berat kerana lagu ini memerlukan saya bermain dengan emosi dalaman. Ia mengingatkan kita supaya tidak lemah apabila diuji dan menjadikan segala apa yang dilalui sebagai proses pembelajaran.

“Setiap manusia pasti melalui pengalaman serupa. Saya juga pernah kecewa, namun daripada kegagalan itu saya bangkit mengumpul semula kekuatan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya apakah lagu itu mempunyai kaitan dengan kehidupan Erra, Hafiz berkata, liriknya mempunyai makna mendalam.

“Saya tidak boleh komen sama ada lagu ini mempunyai kaitan dengan Erra atau sebaliknya. Sebenarnya, ia sudah lama dihasilkan, cuma saya baru berkesempatan untuk bekerjasama dengan Erra.

“Dari segi lirik, pemilihan kata-katanya sangat mengesankan. Saya yakin dengan kemampuan Erra,” katanya yang pernah bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Liza Hanim.

511 dibaca
Berita Harian X