Selasa, 26 March 2019 | 5:48pm
Qi bersyukur Nelydia bertemu jejaka budiman yang mampu membimbingnya dalam perkahwinan kelak. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Syukurlah dia jumpa lelaki baik'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pemuzik, Qi Razali mendoakan yang terbaik buat bekas kekasihnya, Nelydia Senrose yang bakal mendirikan rumah tangga, tidak lama lagi.

Qi atau nama penuhnya, Qushairi Mohammed Razali, 44, gembira apabila Nelydia bertemu jodoh dengan jejaka yang dapat membimbingnya dalam melayari bahtera perkahwinan.

“Alhamdulillah, saya bahagia dia jumpa dengan individu yang boleh membimbingnya... Dia bertemu lelaki baik,” katanya di sini, hari ini.

Awal bulan ini, Nelydia, 24, mengesahkan dirinya bakal bernikah apabila perkongsian Instagram (IG) Story termasuk yang dimuat naik saudara-mara dan kenalan rapat aktres itu ketika menghadiri majlis meraikan bakal pengantin di sebuah hotel di sini, tersebar.

Namun, Nelydia dilaporkan enggan mengulas lanjut, sebaliknya berdoa majlis yang dirancang diberkati dan dipermudahkan.

Qi yang pernah menjalin hubungan cinta dengan Nelydia, turut gembira gadis itu menemui kebahagiaan.

“Semoga semua yang diimpikan dicapai dalam perkahwinan nanti.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk awak (Nelydia)... Tahniah! Semoga berbahagia hingga ke anak cucu,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single Aina Abdul berjudul Sumpah, di sini.

Qi yang juga anggota kumpulan OAG, tampil dalam video muzik Aina yang dahulunya adalah bekas protege, Ella.

Sementara itu, mengulas mengenai pembabitan dirinya dalam video muzik Sumpah, Qi mengakui kurang mengenali naib juara Mentor Legend itu, namun kagum dengan bakatnya.

“Saya kurang mengenali Aina tetapi tahu lagu Shadow. Tak sangka, Aina yang mengundang saya untuk tampil dalam video muzik Sumpah adalah penyanyi lagu Shadow.

“Bakatnya besar, saya berharap Aina dapat pergi jauh dalam bidang seni. Seperkara lagi, plot video muzik ini berbeza kerana mengangkat tema masalah mental,” katanya.

6736 dibaca
Berita Harian X