Ahad, 24 March 2019 | 9:30am
AKSI Haqiem Rusli ketika menghiburkan peminat pada Showcase A Nite With Haqiem Rusli di MATIC. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Haqiem menangis kerana peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli, gagal menahan sebak ketika menyampaikan lagu ditulis buat peminatnya, Qiemilio, pada showcase A Nite With Haqiem Rusli, di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini.

Penyanyi itu berkata, dia terharu apabila melihat sokongan diberikan, terutama oleh anggota kelab peminatnya terhadap persembahan sulung beliau di ibu negara.

“Apabila saya melihat ibu bapa saya yang turut hadir, selain peminat, saya rasa cukup dihargai sebagai seorang seniman. Kalau anda di tempat saya pun, anda akan menangis.

“Malam ini (kelmarin), saya belajar untuk lebih menghargai peminat saya. Malah, impian sejak awal menyertai syarikat rakaman FMC Music pada 2016 untuk mengadakan showcase sendiri kini menjadi kenyataan.

“Sekitar dua tahun lalu, saya pernah mengadakan showcase di Kuching dan Putrajaya, namun dalam skala lebih kecil. Kali ini saya berpeluang mengadakan persembahan lebih besar, bersama iringan band,” katanya kepada BH Online.

Kira-kira 400 peminat hadir memberikan sokongan kepada artis remaja itu pada acara berkenaan.

Pada showcase itu, Haqiem turut menyampaikan lagu baharu, What Can I Do For You, hasil ciptaannya bersama Shazee di hadapan khalayak buat kali pertama.

Namun, penyanyi dan komposer terbabit menyangkal tanggapan dirinya mempersembahkan lagu berentak dansa elektronik (EDM) itu secara ‘miming’ atau sekadar menggerakkan bibir.

“Saya akui masih tidak begitu yakin untuk menyanyikan lagu baharu itu berikutan belum benar-benar menghafal liriknya. Begitupun, saya bukan ‘miming’, sebaliknya menyanyi secara ‘on top’ daripada muzik ‘minus one’ yang dimainkan.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan keseluruhan persembahan. Saya dapat mendendangkan lagu yang jarang dipersembahkan kepada peminat,” katanya.

Pada persembahan itu, Haqiem tidak ketinggalan menyampaikan lagu popularnya, Tergantung Sepi, Selamat Tinggal Sayang, Jatuh Bangun, Kenangan dan Perjalanan.

Dia turut menyanyikan lagu dendangan idolanya, Zamani, iaitu Gerimis Mengundang, dan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits).

Dalam perkembangan lain, Haqiem akan tampil dengan sebuah lagi singe baharu, pertengahan tahun ini.

Lagu berbentuk nasihat berjudul Lembah Kesepian itu ditulis olehnya sendiri selepas membaca luahan seorang lelaki yang ditinggalkan anaknya di rumah orang tua.

893 dibaca
Berita Harian X