Khamis, 21 March 2019 | 12:23pm
ZIANA melihat kesungguhan Ernie meningkatkan kemampuan vokalnya sejak hampir 10 tahun lalu. - Foto Instagram Ernie Zakri

'Dengar cakap Mak Long'

KUALA LUMPUR: Membahasakan diri Mak Long kepada Ernie Zakri, penyanyi Madah Berhelah, Ziana Zain berpesan supaya anak saudaranya itu mengekalkan momentum dalam kerjaya.

Melihat kesungguhan Ernie mengasah bakat sejak hampir 10 tahun lalu, Ziana bangga bakat Ernie mula dihargai.

“Sejak tujuh hingga tahun lalu, nyanyian Ernie mungkin pada tahap biasa. Namun, dia tidak mengalah dan memperbaiki vokalnya.

“Semangat Ernie tak pernah padam... Dari kecil dia suka menyanyi dan kerja kerasnya berhasil,” katanya kepada BH Online.

Menitipkan nasihat buat Ernie, Ziana berharap Ernie terus menguji keupayaan diri dan usah berputus asa.

“Saya tahu semangat Ernie tak cepat padam... Saya percaya, kalau ditanam dalam diri jangan putus asa, Insya-Allah ada jalan.

“Biarlah lambat naik, janji boleh kekalkan momentum,” katanya.

Ziana berkata, Ernie tidak perlu tergesa-gesa untuk memastikan diri berada di puncak.

“Dengan keadaan sekarang, persaingan artis baharu sengit. Bukan mudah, tapi kalau sudah namanya rezeki, pasti ada,” katanya.

Ziana juga bangga Ernie sudi berkongsi ilmu vokal dengan orang lain termasuk penyanyi popular.

“Tidak hanya memanfaatkan ilmu vokal untuk diri sendiri, saya seronok melihat dia mengembangkan ilmu dipelajari dengan penyanyi lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas beberapa kali menjayakan persembahan di Istana Budaya, Ziana meluahkan impian untuk beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

“Melihat artis lain menjayakan persembahan di DFP, hati terdetik untuk menjejaki pentas gah itu.

“Namun, saya sedar bukan mudah untuk membuat persembahan di sana. Genre muzik saya perlu pelbagai sedangkan saya lebih dikenali dengan irama balada.

“Namun, siapa tahu, mungkin ada rezeki. Saya tidak pernah berhenti berharap dan moga ada kesempatan nanti,” katanya.

Mengenai single terbaru, Ziana berkata, dia cuba memastikan hasrat itu dicapai, tahun ini.

Berita Harian X