Selasa, 19 March 2019 | 6:52pm
PELAKON dan pengacara terkenal, Neelofa, berharap semua pihak mendoakan kesejahteraan rumah tangga kakaknya, Noor Nabila, bersama Sharnaaz Ahmad. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tuduhan tak masuk akal - Neelofa

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Neelofa Mohd Noor, 30, mendakwa tuduhan dirinya menjadi pencetus kemelut rumah tangga kakaknya sebagai tidak masuk akal.

"Saya sayang kakak saya, sayang anak saudara saya. Semua tuduhan itu tidak masuk akal," katanya ketika ditemui pada sebuah acara, di sini hari ini.

Neelofa berkata demikian ketika mengulas komen netizen yang menyalahkannya sebagai punca pergolakan hubungan antara Noor Nabila, 35, dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad, 33.

Pasangan yang dikurniakan seorang cahaya mata berusia lapan bulan, Jebat Jayden, itu dikatakan berantakan apabila aktor terbabit beberapa kali berkongsi status di laman sosial, seakan-akan membayangkan situasi dilaluinya sekarang.

Pelakon dan usahawan terkenal itu terheret sama dalam spekulasi netizen terbabit gara-gara meninggalkan komen ringkas di status Instagram kakaknya, yang dilihat seperti membalas kenyataan Sharnaaz.

Begitupun, Neelofa pada masa sama berharap semua pihak turut mendoakan kesejahteraan pasangan berkenaan.

"(Saya) Harap orang ramai, rakan dan keluarga boleh menjadi penyokong terbaik buat mereka. Orang luar tak tahu apa yang mereka lalui," katanya lagi.

Nabila dan bintang filem Juvana serta Darah Panas itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

5581 dibaca
Berita Harian X