Selasa, 19 March 2019 | 5:59pm
HAFIZ Hamidun dan Erra Fazira bekerjasama menerusi lagu terbaru, Menangkah Cinta. - Foto ihsan Hafiz Hamidun

Hafiz cipta lagu sedih untuk Erra

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali bertukar tangan, lagu Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun menjadi milik bintang sensasi, Erra Fazira.

Dicipta sejak 2017 dengan lirik tulisan Iman Imran, melodi lagu berkenaan bagaimanapun diubah mengikut kesesuaian penyanyinya.

“Sebelum ini, melodinya memang lain, begitu juga dengan liriknya. Malah, jika diimbas semula, jauh juga perjalanan lagu ini sebelum ia menjadi milik Erra.

“Selepas meneliti karakter suaranya, kami dapati Erra sesuai dengan melodi tertentu. Lagu ini kemudian dijadikan sebuah naskhah balada dengan mempunyai dinamiknya sendiri. Kami memberikan muzik yang secara keseluruhan boleh dikatakan baharu untuknya.

“Perubahan turut dilakukan agar tiada pihak atau penyanyi yang terlebih dahulu dicadangkan untuk menyanyikannya terasa hati,” kata penyanyi dan komposer itu sambil memaklumkan, Erra serta pengurusan artis terbabit juga gembira dengan hasilnya.


HAFIZ yakin Erra mampu menyanyikan lagu ciptaannya dengan baik.

Menurut Hafiz, Erra sendiri merakamkan demo lagu terbabit bagi tujuan kawalan vokal, 20 Februari lalu, manakala rakaman sebenar bakal diadakan lusa.

Ditanya apakah Menangkah Cinta mempunyai kaitan dengan kehidupan primadona filem Melayu alaf baharu itu, Hafiz cuma menyatakan liriknya bersifat sedih.

“Saya tidak boleh komen sama ada lagu itu ada kena mengena dengan sesiapa. Pasti ada cerita yang tersirat dan tersurat. Lagu ini sendiri sudah lama dicipta dan saya serta Erra pula baru tahun ini mula bekerjasama.

“Cuma, saya boleh katakan lirik lagu ini sangat sedih. Pemilihan kata-katanya mengesankan dan saya yakin, Erra mampu menyampaikannya dengan baik,” kata Hafiz yang pernah bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Liza Hanim.

Dalam perkembangan lain, Hafiz kini dalam usaha mengeluarkan single bersempena Ramadan, selain menerbitkan lagu untuk artis baharu di bawah labelnya, Arteffects.

2221 dibaca
Berita Harian X