Isnin, 18 March 2019 | 11:00am
Kay mencari idea mencipta gimik terbaik untuk single baharu berjudul Bukan Bahagiaku. Foto IG Kay Khydir

'Kay Khydir pun nak buat gimik'

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi aliran, penyanyi Kay Khydir sedang memikirkan gimik sesuai untuk mempromosikan lagu baharu, Bukan Bahagiaku, tidak lama lagi.

Kay atau nama sebenarnya, Nur Khaidir Muhd, 31, mengaku terbuka mendedahkan perancangan mencipta gimik asalkan ia tidak memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

“Saya tidak nafikan gimik boleh membuatkan produk menjadi popular. Jadi, saya tidak menolak melakukan strategi sama.

“Cuma bagi saya, biarlah gimik itu tidak memburukkan reputasi diri dan keluarga,” katanya kepada BH Online.

Kay adalah bekas peserta musim kesembilan Akademi Fantasia (AF) dan baru melancarkan video karaoke Bukan Bahagiaku ciptaan Azlan Abu Hassan dan Abi Abdullah.

Lagu itu dilancarkan di platform digital pada 10 November lalu.

Kay juga pernah mempertaruhkan dua single duet iaitu bersama abangnya, Diddy Hirdy, dan bintang sensasi, Ayda Jebat.

Berbicara mengenai lagu baharunya, Kay mengaku kisah dipaparkan adalah berkisar sejarah lalu apabila dirinya kehilangan insan yang amat dikasihi.

“Single Bukan Bahagiaku dirakamkan pada 2014. Namun, ketika itu, saya fikir belum masanya untuk dipromosikan.

“Kebetulan banyak tawaran berlakon yang diterima menyebabkan proses memperkenalkan lagu terbabit tergendala,” katanya.

Kay berkata, selepas penyanyi, Shiha Zikir ‘melamar’ dirinya untuk menjadi artis naungan di bawah syarikat, SZ Entertainment, barulah projek single terbabit diteruskan.

“Saya kenal Shiha sejak lebih 10 tahun lalu. Selain menjadi penyanyi di restoran, saya dan Shiha pernah menyertai pertandingan realiti. Sejak itulah kami menjadi sahabat baik sampai sekarang,” katanya.

Kay berkata, dia selesa berkongsi hal peribadi dan masalah kerjaya dengan Shiha.

“Seperti saya, laluan Shiha untuk menempa nama bukan mudah. Jadi, saya tahu apa yang dia lalui.

“Melihat kejayaan Shiha hari ini, saya percaya kita perlu berusaha keras... Insya-Allah, pasti ada hasilnya,” katanya.

633 dibaca
Berita Harian X