Jumaat, 15 March 2019 | 6:03pm
PELAKON, Atikah Suhaime, menganggap pembatalan perkahwinannya dengan Awi Rafael sebagai suratan takdir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jangan hentam bekas tunang saya - Atikah Suhaime

KUALA LUMPUR: Pelakon, Atikah Suhaime, meminta orang ramai berhenti menghentam bekas tunangnya, Awi Rafael, atas pembatalan pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung Ahad ini.

Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 28, berkata semua yang berlalu adalah suratan takdir dan Awi sendiri tidak bersalah dalam hal terbabit.

Lebih-lebih lagi, menurut bintang Cinta Tiada Ganti itu, bekas tunangnya seorang yang penyayang.

"Terima kasih atas sokongan dan doa yang diberikan. Tiada lagi air mata yang perlu ditangisi.

"Dalam rasa terkilan kerana majlis perkahwinan yang tidak menjadi, saya lebih kecewa apabila melihat orang ramai menghentam insan yang saya cintai, di Instagram.

"Anda tidak boleh berbuat demikian kerana anda tidak mengenalinya. Anda juga tidak boleh bercakap buruk mengenainya. Saya kenal siapa dirinya... Dia menjaga saya, begitu juga nama baik saya dan keluarga," kata pelakon itu menerusi video yang dikongsi di laman Instagramnya, beberapa jam lalu.


AWI Rafael dan Atikah Suhaime ketika menjayakan sesi fotografi di Balai Berita, Bangsar, Disember tahun lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dalam pada itu, Atikah turut meminta netizen agar tidak menyalahkan bapanya yang membuat keputusan membatalkan perkahwinan mereka.

Pelakon kelahiran Singapura yang dikenali menerusi filem Longkai, Highland Tower dan Lagenda Budak Hostel itu berkata, sebagai bapa, pasti orang tuanya mahukan yang terbaik buat anaknya.

"Saya tidak menyalahkan dia (bapa). Saya percaya, dia tahu dan mahu yang terbaik buat anak perempuannya.

"Sepanjang tempoh itu juga, saya dalam keadaan tidak boleh menerima hakikat dan tetap meneruskan persiapan perkahwinan. Bagaimanapun, saya tetap akur.

"Jadi, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Berhenti mengecam sesama sendiri kerana pada penghujungnya, ia adalah takdir yang sudah tertulis dan kita haru menerimanya dengan hati terbuka," ujarnya.

Atikah dan Awi atau nama lengkapnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael mengikat tali pertunangan pada 17 Mac tahun lalu, di Singapura.

Awi menerusi Instagramnya, semalam, mengumumkan terpaksa membatalkan majlis pernikahan mereka atas sebab tertentu.

Tanpa memberikan alasan majlis pernikahan yang dirancang diadakan di Kota Singa itu tidak dapat diteruskan, penyanyi terbabit turut meminta semua pihak memahami situasi dilaluinya dan menghormati keputusan dibuat.

2740 dibaca
Berita Harian X