Jumaat, 15 March 2019 | 4:04pm
KONSERT Soul Sisters bakal menampilkan penyanyi hebat, dari kiri, Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Soul Sisters hargai kumpulan Feminin

KUALA LUMPUR: Konsert Soul Sisters yang menggandingkan tiga penyanyi terkenal, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz, bakal menampilkan segmen khas mengenang kembali kumpulan wanita popular, Feminin.

Menurut penganjurnya, Edd Razhe daripada Edd Razhe Entertainment (ERE), sebagai individu yang pernah menguruskan kerjaya seni kumpulan popular terbabit, lebih dua dekad lalu, beliau sendiri meminta segmen berkenaan diadakan.

“Sebagai penganjur, memang saya meminta mereka untuk membuat persembahan ‘tribute’ untuk Feminin sebagai penghargaan kepada kumpulan berkenaan. Menerusi segmen terbabit, ketiga-tiganya akan menyampaikan tiga lagu pernah dipopularkan mereka iaitu Untukmu, Rindu dan Kini.

“Insya-Allah, Feminin sendiri akan hadir menyaksikan persembahan pada 5 April depan, untuk sama-sama memeriahkan konsert. Selain itu, ada juga kejutan lain menanti,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis Sneak Preview Soul Sisters, di sini.

Sepanjang pembabitan dalam muzik, Feminin yang dianggotai oleh As, Watie, Deq Nor dan Yatie pernah merakamkan tiga album studio iaitu Untukmu (1993), Kini (1994) dan Kembali (1996).

Sementara itu, mengulas persiapan konsert yang bakal dipentaskan kira-kira tiga minggu lagi, tiga pemilik vokal hebat terbabit kini giat menjalani latihan, terutama dari segi vokal, bersama Datuk Syafinaz Selamat.

“Selepas ini, kami akan kerap berjumpa Syafinaz bagi latihan vokal bersama. Selain mendapatkan nyanyian berharmoni, latihan itu juga untuk menonjolkan kemampuan vokal masing-masing tanpa perlu membayangi sesiapa,” kata Misha.

Empat bulan selepas dilancarkan, konsert yang bakal berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, pada 5 dan 6 April depan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila 70 peratus tiket sudah disambar peminat.

Tiket masih boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

949 dibaca
Berita Harian X