Khamis, 14 March 2019 | 9:00am
Sheila, Anuar, Marcell dan Harvey bakal membuat persembahan pada Malam Amal LIMA 19 di Langkawi, akhir bulan ini. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Nyanyi biar sepenuh hati'

KUALA LUMPUR: ‘Kalau persembahan ala kadar, baik tak payah buat.’

Itu reaksi Datuk Sheila Majid yang diberi amanah mengatur persembahan eksklusif menggabungkan penyanyi nama besar pada Malam Amal Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19), akhir bulan ini.

Sheila berkata, pada setiap masa, artis perlu memberi yang terbaik ketika beraksi di pentas, apatah lagi jika persembahan dibayar peminat.

“Kalau kita mahu membuat sesuatu persembahan secara ala kadar, baik tidak payah (buat).

“Jika kita mahu buat, berilah yang terbaik. Persembahan kita dibayar oleh orang ramai, jadi kita tak boleh mengambil perkara itu secara ala kadar.

“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai penyanyi. Apatah lagi jika kita membuat persembahan untuk tujuan amal, pasti kita perlu melakukannya sepenuh hati,” katanya kepada BH Online.

Malam Amal LIMA 2019 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Westin Langkawi, Kedah, pada 29 Mac depan.

Selain Sheila yang bakal mendendangkan lagu popular seperti Lagenda, Warna dan Sinaran pada malam amal itu, tiga penyanyi lain termasuk dua bintang Indonesia akan mengisi slot persembahan.

Mereka adalah Anuar Zain, Harvey Malaiholo dan Marcell Siahaan.

Memperincikan projek itu, Sheila berkata, malam amal yang julung kali dianjurkan itu bertujuan mengutip dana untuk Pertubuhan Kasih Kedah (Kasih Kedah).

“Saya diberi tanggungjawab mengatur daripada segi konsep persembahan, artis dan sebagainya.

“Saya melakukannya kerana ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kepada masyarakat iaitu membantu golongan memerlukan.

“Sehubungan itu, saya berharap Kasih Kedah akan mendapat sumbangan disasarkan,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Anuar, Harvey dan Marcell mengisi slot persembahan, Sheila berkata:

“Pada mulanya, saya mahu penyanyi wanita dalam acara ini. Namun, semua penyanyi yang saya mahu, sibuk pada tarikh berkenaan.

“Alhamdulillah, saya dapat mengumpulkan tiga penyanyi lelaki terbabit yang pernah bekerja dengan saya sepanjang lebih tiga dekad dalam industri seni,” katanya yang baru pulang dari Jakarta, Indonesia menjayakan Festival Jazz.

Dalam perkembangan lain, Sheila bakal menjayakan Konsert KL Jamm 2019 pada 26 April depan. Sheila akan berganding dengan Datuk Zainal Abidin dan Afdlin Shauki.

Sementara itu, individu yang mahu mendapatkan maklumat mengenai Malam Amal LIMA 2019 boleh menghubungi Yusoff Iwasi di talian 012-2255878 atau emel kepada yusoff@liveatwork.com.my.

727 dibaca
Berita Harian X