Sabtu, 9 March 2019 | 11:30am
AZZA mula menjaga Muhammad Adam ketika usianya sehari. - Foto ihsan Azza

Muhammad Adam pelengkap hidup Azza Elite

KUALA LUMPUR: Impian pelakon dan penyanyi, Azza Zawari, untuk bergelar ibu terlaksana dengan kehadiran bayi lelaki, Muhammad Adam, sejak empat bulan lalu.

Menurut anggota kumpulan Elite itu, ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci, Julai tahun lalu, dia turut memanjatkan doa agar dikurniakan cahaya mata.

“Alhamdulillah, doa saya di Makkah dimakbulkan sekembali ke ibu kota. Sekalipun bukan melahirkannya sendiri, saya tetap bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan.

“Apabila saya dan suami (Azlan Zulaily) tiba di tanah air, ada pihak menghubungi kami mengenai bayi yang memerlukan penjaga. Segala-gala dipermudahkan buat kami,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir pelakon, Zain Saidin, di sini.

Azza atau nama penuhnya Nor Azzarima Zawari, 41, dan Azlan, yang mendirikan rumah tangga pada 2012, menjadikan bayi itu sebahagian daripada keluarga mereka ketika usianya baru sehari.

KEHADIRAN bayi lelaki comel, Muhammad Adam, melengkapkan kehidupan Azza dan suami.

Wanita itu percaya, Tuhan mengaturkan rezeki terbaik buat mereka selepas sekian lama berusaha.

“Mungkin saya tidak sempurna seperti wanita lain yang mampu melahirkan zuriat sendiri, namun kini saya cuba untuk menjadi ibu yang baik buatnya,” kata Azza yang mendapat sokongan keluarga dan teman rapat dalam usahanya memelihara Muhammad Adam.

Sebelum ini, Azza pernah empat kali disahkan hamil, namun berakhir dengan keguguran.

“Saya bukannya tidak boleh mengandung, tetapi terus diuji. Ketika kandungan hendak memasuki usia tiga bulan, saya keguguran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azza yang turut menceburi dunia perniagaan mengakui rezekinya murah selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

“Selain diberi peluang menjadi hos program jualan dalam talian di sebuah saluran berbayar, saya juga diundang menjayakan segmen parodi sebuah rancangan hiburan popular.

“Setakat ini, sudah tiga episod parodi saya jayakan, termasuk bagi video muzik Vroom Vroom dendangan Nabila Razali,” katanya.

Berita Harian X