Jumaat, 8 March 2019 | 1:00pm
Konsert meraikan ulang tahun ke-20 Dayang dalam dunia muzik di Istana Budaya, Julai depan, hanya dianjurkan satu malam seperti permintaan penyanyi itu sendiri. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Konsert Dayang satu malam sahaja'

KUALA LUMPUR: Satu malam sahaja.

Begitu permintaan Dayang Nurfaizah kepada penganjur konsert meraikan ulang tahun ke-20 dalam industri muzik, Shiraz Projects Sdn Bhd dan DTA Fashion, Julai depan.

Sehubungan itu, Shiraz Projects tidak akan melanjutkan konsert Dayang yang bakal berlangsung di Istana Budaya di sini, biarpun peminat mendesak penyanyi Di Pintu Syurga itu membuat slot tambahan.

Sebagai ganti, penganjur, Shirazdeen Karim memberitahu, pihaknya bercadang membawa konsert yang sama di Singapura.

“Untuk konsert Dayang di Istana Budaya, Julai depan, kami memutuskan satu malam sahaja.

“Ini permintaan Dayang... Namun, tidak mahu menghampakan peminat, kami merancang mengadakan konsert yang sama di Singapura.

“Lokasi dan tarikh masih belum diputuskan... Ketika ini, kami masih mencari tempat dan tarikh yang sesuai,” katanya kepada BH Online.

Mengulas sambutan menggalakkan terhadap konsert Dayang, Shirazdeen yang turut menganjurkan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019 memberitahu, situasi itu sudah dijangka.

“Kami sudah ramal tiket laris... Dengan kemahiran kami dan rekod penganjuran konsert lain, kami yakin dapat memberi yang terbaik untuk konsert Dayang,” katanya.

Konsert Dayang menawarkan 1,400 tiket pada harga bermula RM125 hingga RM695 melalui laman web www.myticket.asia. Semua tiket habis dijual tidak sampai 24 jam selepas dilancarkan.

729 dibaca
Berita Harian X