Khamis, 7 March 2019 | 2:42pm
Yazit menunggu individu yang sanggup membeli keretanya dalam usaha mengumpul wang bagi kos pembedahan anak. Foto NSTP Luqman Hakim Zubir

Kos bedah anak RM35,000, Yazit mahu jual kereta

KUALA LUMPUR: Pemain dram popular, Yazit Ahmad buntu mencukupkan dana bagi menyegerakan pembedahan jantung anak keduanya hingga sanggup menjual kereta.

Yazit, 57, memberitahu, Shahmirnuri, 34, atau dipanggil Boy yang dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu, masih lemah berikutan masalah jantung membengkak.

“Sampai hari ini, kereta milik saya dan Boy belum terjual. Tidak mengapalah ‘lepaskan’ kereta yang saya guna untuk dia menjalani dialisis setiap minggu demi kesihatan.

“Biarpun berapa sen sangat yang dapat dengan jualan kereta itu, harap ada yang sanggup beli. Ada rakan memberi sumbangan sejak berita mengenai penyakit anak tular.

“Kami sekeluarga masih berikhtiar selain memohon Unit Kebajikan Hospital menimbang diskaun daripada kos pembedahan yang dianggarkan RM35,000.

“Doakan semoga wang sebanyak itu dapat dikumpul. Boy perlu segera menjalani pembedahan memasukkan bateri pada jantungnya,” katanya kepada BH Online.

Dua minggu lalu, anak kedua daripada tiga bersaudara itu ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sesak nafas.

Aras saranan doktor, Boy yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual telefon, dipindahkan ke Hospital Serdang yang mempunyai pakar jantung.

Sebelum ini, Yazit yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu, memerlukan bantuan kewangan berikutan tidak mampu melakukan kerja berat.

Selain Boy, Yazit dan isterinya, Ramlah Ahmad, 59, mempunyai dua anak perempuan iaitu Razilah, 38, dan Shafiqa Nurlis, 29.

6959 dibaca
Berita Harian X