Rabu, 6 March 2019 | 7:26pm
ERNIE mahu lupakan kontroversi yang pernah menyelubungi Misteri, tahun lalu. Foto Nurul Shafina Jemenon

Ernie tolak Misteri bukan kerana dendam

PUTRAJAYA: Penyanyi Ernie Zakri kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyanyikan lagu Misteri dalam mana-mana acara seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Menurut Ernie, keputusan itu dibuat kerana mahu melupakan kontroversi yang pernah melanda lagu itu apabila gagal mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-33, tahun lalu.

“Ernie memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu itu bukan kerana dendam, sebaliknya Ernie tidak mahu lagi pandang ke belakang. Ernie mahu melupakan apa yang berlaku dulu.

“Ernie berjanji untuk tidak menyanyikan lagu itu selama setahun, malah jika ada permintaan, Ernie tetap akan menolak. Rasanya semua pihak faham dengan permintaan Ernie ini,” katanya kepada BH Online.

Mengakui sangat menyukai lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu, Ernie bagaimanapun, menyifatkan apa yang berlaku sebagai bukan rezeki.

“Memang berat rasa hati, tetapi Ernie perlu reda. Masih banyak lagi lagu lain yang boleh dinyanyikan dalam persembahan. Insya-Allah, mungkin lagu itu Ernie nyanyikan pada masa akan datang,” kata penyanyi berusia 26 tahun ini.

Penyanyi lagu Ku Bersuara itu ditemui pada majlis sidang media persembahan Minggu Setiausaha An Afternoon with Syamel dan Ernie Zakri... When Heart Needs A Beat di Marriot Putrajaya, di sini.

Kontroversi Misteri tercetus apabila lagu itu tidak layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-33, difahamkan berpunca daripada masalah membabitkan Ernie dan syarikat rakamannya sebelum ini, FMC Music.

Berita Harian X