Selasa, 5 March 2019 | 2:51pm
FAIZAL (dua kanan) terharu mendapat kepercayaan Zamani untuk menghasilkan lagu terbarunya. Foto IG Zamani

Zamani buat saya yakin bergerak solo - Faizal Tahir

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir tidak menduga dapat bekerjasama dengan penyanyi legenda, Zamani yang disifatkan sebagai individu penting dalam mencorakkan perjalanan kerjaya solonya.

Faizal berkata, dia masih ingat pertemuan 15 tahun lalu ketika berkongsi pentas bersama penyanyi itu dalam sebuah persembahan. Ketika itu, Faizal masih bersama kumpulan nasyid, Mirwana.

“Selesai persembahan, abang Zamani datang bertemu saya dan mengatakan, saya mempunyai masa depan yang cerah dalam industri muzik. Kata-katanya itu membuatkan saya tergamam.

“Dia ada bertanyakan apakah saya mempunyai cita-cita untuk bergerak sebagai penyanyi solo. Sebelum ini, tiada penyanyi lain yang memberitahu saya perkara itu dan abang Zamani antara insan pertama yang mempercayai kelebihan bakat saya.

“Saya terkedu kerana terlalu teruja. Rasa seperti tidak percaya penyanyi yang saya hormati mendoakan kejayaan saya,” katanya.

Akui penyanyi Ragaman itu, keyakinan Zamani membuatkan dia terharu kerana selama ini, tidak pernah terfikir untuk bergerak solo, apatah lagi Faizal juga kurang yakin dirinya berbakat besar.

Faizal berkata, ia lebih manis apabila dia berpeluang menjalin kerjasama dengan idolanya itu menerusi lagu ciptaannya, Aduh yang dilancarkan beberapa hari lalu.

“Selepas 15 tahun, kami dipertemukan kembali. Saya tidak pasti apakah abang Zamani masih ingat apa yang diperkatakannya dulu. Tak sangka pula, kali ini saya dapat menyumbang karya untuk perjalanan kerjaya seninya.

“Abang Zamani saya sifatkan sebagai penyanyi legenda yang merendah diri dan disayangi ramai. Mungkin dia sudah tidak ingat pertemuan kami 15 tahun lalu, tetapi kenangan itu tetap dalam ingatan saya sampai ke hari ini,” katanya.

1752 dibaca
Berita Harian X