Isnin, 4 March 2019 | 9:28pm
Uqasha mengaku berhati-hati memilih pasangan akibat kegagalan hubungan cinta lalu. Foto NSTP Nur Adibah Ahmad Izam

'Sampai masa jodoh saya tiba'

KUALA LUMPUR: Kegagalan perkahwinan insan tersayang termasuk kisah putus cinta menjadi iktibar pelakon jelita, Uqasha Senrose agar tidak tergesa-gesa menamatkan zaman bujang.

Mengaku berhati-hati dalam soal teman hidup agar tidak tersilap langkah, Uqasha sentiasa menjadikan perceraian ibu bapa dan kakak kandung sebagai peringatan.

Tambah Uqasha, biarpun adiknya, Nelydia Senrose bakal berkahwin tidak lama lagi, dia tidak sedikit pun tertekan.

“Ibu bapa dan kakak saya berhadapan perceraian. Ini menjadikan saya lebih berhati-hati untuk memilih teman hidup.

“Hanya kerana hendak memuaskan hati sesetengah pihak, saya berkahwin pula dengan orang yang salah.

“Biarlah apabila tiba masanya kelak, jodoh saya akan sampai,” katanya kepada BH Online.

Semalam, Nelydia, 24, mengesahkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang, tidak lama lagi.

Ini berikutan tersebar perkongsian Instagram (IG) Story termasuk yang dimuat naik tetamu aktres itu yang menghadiri majlis meraikan bakal pengantin di sebuah hotel, di sini.

Uqasha berkata, dia tidak ralat andai ada pihak memetik perumpamaan ‘langkah bendul’ selepas tersebar kisah adiknya bakal berkahwin.

“Ini kerana sebagai kakak, saya tumpang gembira untuk kebahagiaan adik-beradik saya,” katanya.

Akui Uqasha, episod cinta kecundang turut memberi kesedaran kepadanya agar lebih berhati-hati.

“Saya ambil pengajaran daripada kegagalan hubungan cinta lalu. Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi... Ini menjadikan saya lebih matang,” katanya.

Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen tidak meletakkan syarat dan kriteria bagi memilih calon suami, sebaliknya berharap si dia dapat membimbingnya ke jalan lebih baik.

Ditanya klip video pada majlis Nelydia yang menampakkan Uqasha berjaya menyambut bunga yang dibaling adiknya, Uqasha berkata:

“Ia bukan dirancang... Spontan saja. Ia bukanlah mengikut budaya asing seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Sebenarnya, semua wanita yang berebut bunga itu sudah ada pasangan masing-masing kecuali saya yang belum berpunya,” katanya.

Petang tadi, Uqasha menghadiri sidang media telefilem terbitan Astro First Eksklusif, Saya Jual Ye Bang yang menampilkan Zizan Razak, Nadiyah Sahab dan Datuk AC Mizal.

4600 dibaca
Berita Harian X