Sabtu, 2 March 2019 | 4:11pm
DAIYAN sudah lali terima kiriman mesej kurang sopan di laman sosial. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Tak perlu layan orang punya mentaliti seperti itu'

KUALA LUMPUR: “Memang tak selesa, tetapi tak perlulah layan kerana orang yang mempunyai mentaliti seperti itu tidak penting dalam kerjaya saya,” kata Daiyan Trisha.

Gadis berusia 25 tahun itu berkata, kiriman mesej berbaur lucah di laman sosial bukan isu baharu perlu dilaluinya, malah dia sudah lali dengan permintaan biadap segelintir pengikut yang cuba menguji kesabaran.

Penyanyi yang popular dengan lagu Jatuh dan Langit itu bagaimanapun, tidak melatah, malah sentiasa memastikan dirinya tidak dipengaruhi aura negatif yang mampu menjejaskan urusan harian.

“Ia bukan kali pertama saya menerima kiriman mesej kurang sopan, jadi saya sudah tidak terkejut dan mampu mengendalikannya dengan tenang. Saya tidak perlu melenting dengan permintaan keterlaluan seperti itu.

“Ada kalanya, saya anggap ia sebagai hiburan kerana kelakar dengan permintaan mereka. Terbaru, saya berkongsi mesej yang diterima kepada umum kerana lucu apabila orang itu tersalah ejaan.

“Saya tidak terkesan dengan perkara negatif seperti itu dan selalu mengingatkan diri, kelompok yang membawa mentaliti itu tidak membantu membangunkan kerjaya seni saya,” katanya.

Graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu juga menjelaskan, permintaan keterlaluan segelintir pengikutnya membuatkan dia lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkongsian di sosial media.

Daiyan turut menitikberatkan pemilihan pakaian kerana tidak mahu kesilapan yang dilakukan mengundang padah.

“Sebagai selebriti, saya maklum, kami terdedah dengan perkara yang di luar jangkaan. Saya akan mempertimbangkan pelbagai sudut sebelum memuat naik sesuatu gambar.

“Saya juga bertanggungjawab untuk mendidik pengikut, terutama kaum lelaki supaya lebih menghormati wanita dan tidak memperlekehkan kami sesuka hati,” kata Daiyan.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Daiyan yang masih mempromosikan single Langit bakal tampil dengan buah tangan terbaru bulan depan.

Berita Harian X