Selasa, 26 Februari 2019 | 8:30pm
Siti mengambil kira pandangan peminat untuk persiapan siri kedua dan ketiga konsert jelajahnya di Singapura dan Kuala Lumpur, mulai 2 Mac ini. Foto Ihsan Shiraz Projects

Siti ada sebab pilih busana di konsert Jakarta

PETALING JAYA: ‘Asalkan selesa, buat apa pakai baju terlalu ketat tetapi tak yakin menyanyi dengan baik?’

Begitu reaksi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengulas komen netizen terhadap busana dipakai pada pada siri pertama konsert jelajahnya, Siti Nurhaliza On Tour 2019 di Jakarta, Indonesia, minggu lalu.

Ada alasan memilih busana digayakan, Siti menjelaskan, aspek seperti susunan lagu termasuk busana berubah mengikut lokasi konsert.

“Ada beberapa sudut yang akan dititik beratkan dalam setiap pandangan peminat mengenai persembahan saya di Jakarta, minggu lalu.

“Berikutan peminat Indonesia, Malaysia dan Singapura berbeza-beza, akan ada pertukaran susunan lagu dan pakaian yang tidak sama antara semua lokasi.

“Setiap warna yang dijelmakan di pentas memainkan peranan besar,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan produk baharu Vivo V15 dan V15 Pro di sebuah pusat beli-belah di sini, petang tadi.

Khamis lalu, Siti menghiburkan lebih 3,000 peminat pada siri pertama konsert jelajahnya di Istora Senayan, Jakarta.

Sebaik konsert itu dikongsi di laman sosial, netizen yang teruja menyaksikan penyanyi itu beraksi, melayangkan komen termasuk pemilihan busana digayakan Siti.

Siti berkata, dia memilih tidak mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana tidak mahu memberi publisiti kepada mana-mana pihak.

Namun, Siti terbuka menerima setiap pandangan peminat.

Mengenai persiapan untuk siri kedua dan ketiga konsert berkenaan di Singapura dan ibu negara, Siti berkata, dia mengambil kira pandangan peminat yang menyaksikan persembahan di Jakarta sebagai panduan.

Selepas Jakarta, Siti akan bertemu peminat di Singapura pada 2 Mac disusuli Kuala Lumpur pada 16 Mac.

3213 dibaca
Berita Harian X