Ahad, 24 Februari 2019 | 11:30am
PENYANYI, Ara Johari, kini ligat mempromosikan single baharunya, Paku. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lakonan Ara dalam Vroom Vroom dipuji

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ara Johari, tidak mudah melatah biarpun dilihat lebih beremosi dalam video muzik lagu terbaru dendangan Nabila Razali, Vroom Vroom.

Tidak menyangka akan menerima reaksi positif hasil lakonannya itu, Ara, 22, bagaimanapun mengaku berhati-hati menjayakan watak yang diamanahkan supaya tidak menenggelamkan teraju utama, iaitu Nabila sendiri.

“Saya hanya cuba menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin apabila dihulurkan tawaran menjayakan watak sebagai ‘abang-abang’ dalam video Vroom-Vroom. Tidak sangka pula saya kelihatan terlebih emosi ketika memberikan nasihat kepada Nabila, seperti yang dituntut karakter.

“Apa yang penting, saya bersyukur kerana ia tidak mengundang kecaman daripada netizen gara-gara emosi dalam video terbabit. Saya juga terkejut apabila ramai peminat memberikan maklum balas positif dan terkesan dengan lakonan saya itu.

“Alhamdulillah, percubaan sulung saya membuahkan hasil. Malah, tidak kurang mereka yang memberikan saranan supaya saya menceburi bidang lakonan pula selepas ini,” katanya kepada BH Online.

ANTARA aksi Ara dalam video muzik Vroom Vroom nyanyian Nabila Razali.

Kata penyanyi lagu Bunga itu, dia sememangnya teringin untuk mengasah bakat lakonan sekiranya menerima tawaran bersesuaian daripada mana-mana produksi.

Video muzik Vroom Vroom yang dimuat naik ke laman YouTube sejak 23 Januari lalu sehingga kini ditonton lebih 3.4 juta kali.

Single terkini Nabila itu adalah sebuah lagi hasil karya Hael Husaini dan Ezra Kong, selepas mereka bekerjasama menerusi Pematah Hati pada 2017.

Dalam perkembangan lain, naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 33 itu kini masih dalam rangka promosi lagu terbarunya, Paku, ciptaan dirinya bersama-sama Kadok, Tukang Musik dan Shasha K.

Berita Harian X