Sabtu, 16 Februari 2019 | 1:01pm
SELEPAS tiga tahun bersama Hot FM, Ammar kini ingin aktif dalam lakonan dan pengacaraan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Ammar mahu aktif sebagai pelakon, pengacara

KUALA LUMPUR: Tiga tahun bertugas di konti sebagai penyampai radio, Ammar meluahkan hasrat untuk berehat seketika daripada bidang terbabit.

Ammar atau nama penuhnya Azizul Ammar Abu Hassan, 30, sebaliknya teringin untuk bergerak aktif di arena pengacaraan dan lakonan.

“Kontrak saya bersama Hot FM tamat pada 14 Februari lalu, setelah tiga tahun berkhidmat di stesen berkenaan. Pengalaman yang ditimba sepanjang tempoh itu cukup indah dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Apatah lagi, sebelum itu saya langsung tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai penyampai radio. Justeru, peluang yang diberikan amat dihargai,” katanya sambil mengaku agak ralat apabila terpaksa meninggalkan rakan setugas yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Menurut bakat yang dicungkil menerusi program Bintang Mencari Bintang itu, pada tahun ini dia ingin kembali mengatur langkah sebagai pelakon dan pengacara.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya untuk meneruskan hasrat berkenaan. Saya juga harus bertindak pantas kerana perlu mencari rezeki buat anak dan isteri,” kata artis pelbagai bakat ini kepada BH Online.

Sebelum ini, Ammar diberikan kepercayaan untuk bertugas bersama-sama Deen mengendalikan slot Hot Jam, bermula jam 4 petang.

Berkongsi mengenai perkembangan diri, Ammar memaklumkan dirinya terbabit dalam beberapa program sebagai hos.

“Saya berperanan sebagai pengacara bagi program baharu sebanyak 13 episod, Spotlight, milik Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) dan diarahkan oleh Pat Ibrahim. Ia disiarkan menerusi aplikasi digital YouTube.

“Selain itu, saya turut terbabit sebagai pengacara ‘game show’, Lumba Raya, bersama Sherry Alhadad, untuk saluran TV3,” katanya yang pernah membintangi beberapa telefilem.

Berita Harian X