Jumaat, 15 Februari 2019 | 7:21pm
PENYANYI, Dayang Nurfaizah, bakal mengadakan konsert solo sempena dua dekad dalam dunia seni di Istana Budaya, Julai depan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tiket konsert Dayang habis tak sampai 24 jam

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, terharu apabila tiket Konsert Dayang Dua Dekad yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai depan, habis terjual dalam tempoh tidak sampai 24 jam ia dilancarkan.

Terkejut dengan sambutan hangat diberikan, Dayang berkata, perkhabaran gembira berkenaan tentu sahaja menjadi pembakar semangat untuk dia menghadiahkan persembahan terbaik pada konsert solonya.

“Dayang sangat terkejut dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat. Tak sangka tiket konsert solo Dayang akan laris secepat ini walaupun jualannya dilancarkan pada pertengahan bulan. Selalunya, orang ramai akan membeli tiket konsert pada saat akhir.

“Apapun, sokongan diberikan itu boleh dianggap sebagai isyarat awal peminat yang sememangnya menantikan persembahan terbaik daripada Dayang,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi Separuh Matiku Bercinta itu juga memohon maaf kepada peminat yang tidak sempat untuk mendapatkan tiket memandangkan tempat duduk di Panggung Sari adalah terhad.

“Dayang tahu, ramai peminat yang kecewa kerana tidak sempat nak beli tiket. Nak buat macam mana, tempatnya memang terhad. Doakan semoga Dayang diberikan peluang untuk mengadakan konsert lain selepas ini,” ujarnya.

Konsert satu malam anjuran Shiraz Projects itu menawarkan sebanyak 1,400 tiket bermula pada harga RM125 hingga RM695 yang dijual menerusi myticket.asia, bermula jam 2 petang semalam.

Bakal berlangsung sehari selepas ulang tahun kelahirannya, konsert berskala mega berkenaan disifatkan penyanyi bersuara emas itu sebagai hadiah hari jadi paling bermakna buat dirinya.

Berita Harian X