Rabu, 13 Februari 2019 | 12:37am
Lana hanya dapat bertemu anaknya, Billy tengahari esok, berikutan berdepan masalah ketika doktor membuat persediaan memulakan pembedahan membetulkan injap jantung, petang tadi. - Foto IG Lana Nodin

Jantung Billy terhenti 10 minit - Lana Nodin

KUALA LUMPUR: Pelakon Lana Nodin dan suami berdepan detik cemas apabila jantung bayi mereka, William Daud McKienzie terhenti 10 minit ketika doktor membuat persediaan memulakan pembedahan membetulkan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, petang tadi.

Berikutan itu, Lana memberitahu, anaknya yang dikesan mengalami masalah injap atau aortic stenosis sejak dilahirkan dua bulan lalu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan pembedahan ditangguhkan antara dua hingga tiga hari lagi.

"Prosedur pembedahan terpaksa ditangguhkan. Sekarang anak saya

ditempatkan di ICU. Agak berat untuk saya cakap, masa beri bius tadi (petang tadi), jantungnya terhenti kira-kira 10 minit. Doktor beritahu jantungnya 'terkejut'.

"Kemudian doktor beri bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR), namun selepas tiada tindak balas, kaedah defibrilasi iaitu kejutan elektrik pula digunakan. Alhamdulillah, jantung anak saya kembali berdetak.


Perkongsiaan Lana yang berdepan keadaan di mana anaknya yang berusia dua bulan, Billy menghadapi masalah injap jantung, pantas meraih simpati netizen. - IG Lana Nodin

"Namun, anak saya perlu ditempatkan di ICU untuk melihat perkembangannya dan pemantauan dalam tempoh 48 jam," kata Lana menerusi perkongsian video di Instagram (IG) Story.

William Daud Mckienzie atau dipanggil Billy, dimasukkan ke IJN sejak semalam bagi menjalani pembedahan membetulkan injap jantung yang sepatutnya dilakukan, petang tadi.

Sementara itu, Lana yang tidak mampu menahan air mata daripada terus mengalir, memohon orang ramai mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Billy.

“Minta maaf kalau saya ada buat salah apa-apa. Tolong doakanlah anak saya. Insya-Allah, tengahari esok saya dapat berjumpa Billy. Hari ini doktor nak bagi dia berehat sepenuhnya," katanya.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 39, mendirikan rumah tangga dengan David atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckinzie pada 15 Mei 2015.

Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Gia Quinn McKienzie yang berusia 2 tahun.

3504 dibaca
Berita Harian X