Selasa, 12 Februari 2019 | 7:59pm
UQASHA tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi Emma Maembong buka tudung. Foto Nurul Shafina Jemenon

Saya tak layak nasihat Emma Maembong - Uqasha Senrose

KUALA LUMPUR: “Saya tidak layak menasihati Emma (Maembong) atau sesiapa sahaja kerana saya juga pernah berbuat silap,” kata pelakon Uqasha Senrose.

Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, sebagai rakan sealiran, dia hanya mampu mendoakan Emma supaya kuat berdepan cemuhan netizen.

Uqasha juga yakin, gadis itu lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya selepas membuat keputusan tidak lagi berhijab, baru-baru ini.

“Seboleh mungkin, saya tidak mahu dikaitkan dengan isu Emma buka tudung kerana saya juga pernah melakukan kesilapan.

“Apa juga pilihannya, hanya Emma yang tahu dan itu urusan dia dengan Tuhan. Saya tahu dia kuat. Apa juga yang orang cakap, Emma kena kuat dan cekalkan hati.

“Sentiasa bermuhasabah diri kerana kami juga pernah membuat perkara yang baik. Siapa tahu selepas ini, pintu hatinya kembali terbuka untuk bertudung,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan, C Clean, di sini.

Uqasha yang sudah lebih dua tahun tidak berhijab berkata, sedapat mungkin dia tidak mahu kisah silamnya diungkit semata-mata untuk mensensasikan isu.

“Mengarut untuk mengaitkan saya dengan situasi yang dilalui Emma kerana perkara itu (buka tudung) sudah lama berlalu.

“Setiap orang ada melakukan kesilapan dan itu antara saya dengan Tuhan. Begitu juga dengan Emma. Setiap kita melakukan silap, cuma dosa kita berbeza.

“Jangan samakan saya dengan orang lain. Saya ada bahagian saya, orang lain juga ada bahagiannya. Sentiasalah ingat, dosa setiap manusia tidak sama,” katanya.

Pelakon filem Hantu Kak Limah yang dilantik sebagai duta produk itu selama tiga bulan pernah mengenakan hijab pada 2013, sebelum membuat keputusan membukanya pada Ogos 2016.

Berita Harian X