Selasa, 12 Februari 2019 | 11:10am
Biarpun kecewa, Amylea masih berharap dapat bekerjasama dengan Kaer untuk projek lain pada masa hadapan. Foto Ihsan Amylea Azizan

Kaer tarik diri daripada projek single kedua - Amylea

KUALA LUMPUR: Jika peminat berharap magis antara Kaer Azami dan Amylea Azizan dalam single Tak Pernah Hilang yang menjadi runut bunyi drama rantaian popular, Nur, tahun lalu, berulang, lupakan sahaja.

Ini kerana Amylea mengesahkan pasangan duetnya itu menarik diri daripada projek rakaman single kedua berjudul Tetap Kamu. Tempat Kaer digantikan Megat Adzuan yang pernah menyertai program realiti Mentor 7.

Amylea memberitahu, Kaer memaklumkan dia menarik diri daripada projek single kedua atas alasan tertentu.

“Memang Kaer tidak jadi berduet dengan saya... Dia tarik diri sejak Disember lalu. Akhirnya, rezeki merakamkan lagu baharu itu beralih kepada Megat.

“Saya terkilan kerana berharap rakaman bersama Kaer dapat diteruskan. Kami bermasam muka sekejap.

“Apatah lagi, saya selama ini sangat percaya dengan jenama ‘Amylea X Kaer’ yang dipopularkan. Apatah lagi, lagu Tetap Kamu dicipta untuk kami,” katanya kepada BH Online.

Lagu Tak Pernah Hilang ciptaan Farouk Roman dengan lirik dihasilkan Amylea, ditonton lebih 11 juta kali di YouTube. Single itu turut bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, baru-baru ini.

Sebelum ini, Kaer dan Amylea disebut-sebut bakal merakamkan lagu runut bunyi untuk musim kedua Nur yang sedang menjalani penggambaran.

Amylea berkata, Megat menggantikan Kaer kira-kira seminggu sebelum lagu terbabit diserahkan kepada penerbit drama Nur, Radius One.

“Ketika itu, saya masih berharap Kaer mengubah fikiran hingga meminta proses rakaman ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun, Amylea berkata, dia dan Kaer tidak bergaduh atau berdepan krisis selepas menarik diri.

“Kaer berundur kerana beberapa sebab termasuk mahu berehat dan memberi tumpuan kepada jenama fesyen dan syarikat hiasan dalaman yang diusahakannya.

“Sepanjang tahun lalu, Kaer berhabis-habisan menjayakan semua promosi lagu Tak Pernah Hilang,” katanya.

Namun, Amylea berkata, dia menyimpan hasrat bekerjasama dengan Kaer untuk projek lain pada masa hadapan.

“Malah, Kaer menyokong projek duet saya bersama Megat.

“Dia sudah memberi yang terbaik biarpun bergelut dengan pelbagai masalah seperti hilang keyakinan... Itu belum lagi diambilkira kecaman netizen yang dihadapinya.

“Biar apapun yang terjadi, Kaer tetap sahabat saya,” katanya.

Ditanya apakah ada pihak cemburu melihat kejayaan single Tak Pernah Hilang, Amylea percaya perkara seumpama itu adalah lumrah dunia seni.

“Kalau hendak cerita, memang panjang lebar. Ada saja yang mahu memburukkan hubungan saya dan Kaer.

“Sampai bila kami guna jenama ‘Amylea X Kaer’ ada yang sindir kononnya projek fesyen... Sekarang saya tengok, ramai pula artis yang guna jenama seumpama itu,” katanya.

Berita Harian X