Selasa, 12 Februari 2019 | 9:01am
HARRIS mula menjadi sebutan selepas membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Harris lega tak lagi dikecam

KUALA LUMPUR: Pengalaman dikecam teruk ketika mengendalikan program dalam talian membuatkan Harris Anuar lebih berhati-hati mengetengahkan bakat.

Harris, 26, berkata pengalaman pahit itu memberinya pengajaran supaya mengenal potensi diri dan mencari bidang yang lebih sesuai dengan jiwa.

Dia yang sempat mengendalikan program Live Plus Big Stage untuk siaran YouTube, tahun lalu mengakui, bidang lakonan lebih serasi dengan minatnya.

“Saya dikecam teruk kerana terlalu gemuruh hingga gagal mengendalikan program dengan baik. Saya hanya sempat mengendalikan program itu selama tiga minggu, sebelum tanggungjawab diambil alih pengacara lain.

“Mungkin kerana ia pengalaman pertama, saya sukar mengawal perasaan gementar. Tetapi, semua itu pengalaman hidup yang membuka mata saya supaya mencuba cabang seni lain.

“Walaupun pada mulanya, tidak yakin dengan penerimaan penerbit dan peminat, saya tetap mencuba serta berusaha memperbaiki mutu lakonan apabila diberi peluang,” katanya.

Harris berkata, meskipun gusar imej berkepala botak tidak diterima penonton, dia lega apabila kemunculannya dalam drama rantaian, Lelaki Kiriman Tuhan mendapat maklum balas positif peminat.

Sokongan mereka, akui finalis Hero Remaja 2017 itu, memberinya semangat baharu untuk terus membuktikan kemampuan sebenar.

“Lelaki Kiriman Tuhan adalah drama pertama lakonan saya. Alhamdulillah, ramai yang memberi maklum balas positif membuatkan saya mula yakin dengan bakat yang ada.

“Dulu, saya risau peminat mungkin tidak dapat menerima apabila berkepala botak, selain watak yang ditawarkan juga terhad.

“Namun, saya silap apabila mereka lebih menghargai bakat, bukan penampilan semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, Harris juga menyimpan harapan untuk kembali mengasah bakat dalam bidang pengacaraan, sekali gus mengikut jejak kakaknya, Nadia Annuar yang pernah mengendalikan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3.

1339 dibaca
Berita Harian X