Isnin, 11 Februari 2019 | 6:09pm
MAWAR bakal menimang cahaya mata sulung pertengahan bulan depan. Foto IG Mawar Rashid

Mawar enggan membazir buat persiapan sambut bayi

KUALA LUMPUR: Biarpun teruja menanti kelahiran cahaya mata sulung pertengahan bulan depan, pelakon Mawar Rashid enggan membazir ketika membuat persiapan.

Pemilik nama lengkap, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 24, sebaliknya memilih untuk mengguna semula pakaian anak buahnya kerana masih elok.

“Memang jika diikutkan hati, banyak yang ingin saya beli, tetapi saya cuba kawal perasaan. Lagipun, bayi cepat membesar dan sesetengah baju hanya sempat dipakai beberapa kali sahaja.

“Daripada membazir, lebih baik saya guna barangan sedia ada. Banyak baju anak buah yang tidak jauh jarak usia dengan bayi saya yang masih boleh dipakai,” katanya kepada BH Online.

Mawar berkata, dia dan suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf sudah mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan, namun memilih untuk tidak berkongsi awal.

Mereka juga sepakat untuk tidak menganjurkan majlis ‘baby shower’ seperti yang sering dilakukan kebanyakan selebriti tanah air.

“Saya tidak larat, malah tenaga semakin terbatas menjelang tarikh bersalin. Saya mudah penat, terutama apabila berdiri terlalu lama.

“Jadi, saya dan suami hanya merancang untuk mengadakan majlis akikah. Jantina bayi pula akan kami dikongsi pada hari kelahirannya nanti,” katanya.

Mawar yang dikenali menerusi drama bersiri, Suamiku Paling Sweet mendirikan rumah tangga dengan Raf yang juga pelakon dan usahawan pada 9 November 2017.

2086 dibaca
Berita Harian X