Isnin, 11 Februari 2019 | 2:51pm
SELEPAS sedekad, Dafi ambil keputusan cari haluan baharu dalam bidang perniagaan. Foto Owee Ah Chun

Dah sampai masa cari haluan baharu - Dafi

KUALA LUMPUR: Hampir sedekad mengendalikan syarikat pengurusan artis, LOL Entertainment, Dafi mengambil keputusan berundur sebagai rakan kongsi sejak bulan lalu.

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 30, bagaimanapun masih kekal sebagai artis naungan syarikat itu.

Mengulas mengenainya, Dafi berkata, keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri dan tidak timbul sebarang perselisihan faham dengan rakan kongsinya, Afeeq Abdul Wahab.

“Keputusan ini kami buat bersama pada hujung tahun lalu. Kami ambil kata sepakat supaya hanya seorang yang mengendalikan segala urusan syarikat.

“Apabila sudah terlalu lama membuat dan bekerja dengan orang yang sama, saya terdorong untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kerjaya sebagai artis masih diteruskan, cuma saya mahu mencari pengalaman baharu," katanya.

LOL Entertainment ditubuhkan pada 2009 dan ia menjadi tapak Dafi mengukuhkan namanya selepas meninggalkan program realiti, Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Selain Dafi, syarikat itu turut menguruskan kerjaya seni Rozita Che Wan atau Che Ta dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana, Janna Nick, Fikry Ibrahim, Jihan Muse, Liza Hanim serta Intan Sarafina.

Meskipun ada yang mempertikai tindakannya melepaskan jawatan dalam syarikat itu, Dafi berkata, dia mempunyai perancangan untuk menceburi bidang perniagaan yang tidak mempunyai kaitan dengan dunia hiburan.

“Disebabkan mahu fokus kepada cabang perniagaan baharu, saya ambil keputusan lepaskan jawatan sebagai rakan kongsi dalam LOL Entertainment.

“Ramai yang mempertikai tindakan saya, malah yang bertanya, tidakkah saya rugi kerana syarikat semakin berkembang? Saya tidak rasa begitu kerana saya lepaskan kepada orang yang sudah lama dikenali.

“Asalnya, kami tubuhkan syarikat ini untuk menguruskan karier seni saya. Saya sangat bersyukur apabila ia sudah berkembang hingga ke tahap ini. Saya tidak ralat kerana kawan baik sendiri yang akan uruskan kerana rezeki saya ada di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Afeeq yang juga Pengurus LOL Entertainment berkata, dia merestui keputusan Dafi untuk melepaskan jawatannya dalam syarikat itu.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah atau berselisih faham. Dafi ada maklumkan, dia mahu memberi fokus kepada perkara baharu, selain kerjaya seni.

“Namun, dia masih kekal sebagai artis naungan LOL Entertainment dan tetap terikat dengan peraturan syarikat. Cuma, dari segi pengurusan dan hal ehwal syarikat, perkara itu saya uruskan sendirian,” katanya.

2236 dibaca
Berita Harian X