Isnin, 11 Februari 2019 | 11:01am
REEN Rahim terpaut hati dengan jejaka yang kini bekerja di Scotland. Foto Aziah Azmee

Reen Rahim bahagia biarpun berjauhan

KUALA LUMPUR: Dua tahun menjalin cinta jarak jauh dengan jejaka yang membina kerjaya di Scotland, Reen Rahim mengakui, masih belum bersedia untuk melangkah ke jenjang pelamin.

Bakat berusia 31 tahun yang dicungkil menerusi program realiti, Pilih Kasih musim ketiga itu berkata, dia dan kekasihnya mahu terlebih dahulu memberi ruang untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam.

“Alhamdulillah, keluarga merestui hubungan kami, malah soal kewangan juga bukan halangan untuk kami mendirikan rumah tangga.

“Cuma, kami mahu memberi ruang untuk masing-masing mengenali hati budi dengan lebih mendalam. Saya selalu mengingatkan kekasih, perkahwinan bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada fasa kehidupan baharu dalam perhubungan.

“Kami mahu masing-masing sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami isteri sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan,” katanya.

Menyifatkan jejaka yang hanya diperkenalkan sebagai AR itu matang dan berfikiran terbuka, Reen juga mengakui, tidak mudah untuk dia membuka pintu hatinya selepas melalui kegagalan dalam percintaan.

“Luaran saya nampak gila-gila, tetapi saya tidak mudah menerima cinta lelaki. Namun, perasaan itu tidak sama apabila mengenali AR. Hati saya ketika itu kekosongan selepas kecundang cinta pada 2015.

“Mulanya kami hanya berhubung menerusi panggilan video kerana dia jauh di Scotland. Ketika itu, saya ada berkawan dengan beberapa lelaki lain, tetapi perasaan terhadap AR tidak sama.

“Saya jadi tidak keruan dan selalu merinduinya. Dari situ, saya sedar, saya sudah jatuh cinta dengan ketulusan hatinya. Kami hanya bertemu selepas empat bulan berkawan dan semakin teguh apabila masing-masing mahukan yang hubungan lebih serius,” katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi watak Kak Su dalam Pujaan Hati Kanda itu juga bersyukur, penantian selama tujuh tahun untuk mengukuhkan nama akhirnya terbayar menerusi drama itu.

“Saya tidak kisah dianggap lambat popular, tetapi saya mahu dikenali kerana bakat dan hasil kerja, bukan kontroversi.

Tidak sangka watak Kak Su, gadis kampung yang tidak habis sekolah dan gemar berkain batik menjadi fenomena.

“Maklum balas yang diterima di laman sosial sejak kemunculan Kak Su juga sangat mengejutkan. Penonton suka dengan perkataan ‘halah halah halah’ yang sering Kak Su gunakan, selain karakternya yang bermulut lepas.

“Kak Su adalah watak baharu yang saya terima. Kebiasaannya, watak begitu bersifat antagonis, jahat dan busuk hati, tetapi Kak Su sebaliknya. Dia baik hati, cuma bermulut lepas," katanya.

2276 dibaca
Berita Harian X