Jumaat, 8 Februari 2019 | 10:29pm
ELVINA dan Mohd Haniff bersama anak mereka, Karl Mateen, pada majlis akikah dan kesyukuran di Bukit Jelutong, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Kontroversi eratkan hubungan Elvina, suami

SHAH ALAM: Kontroversi yang melanda rumah tangga pelakon, Datin Elvina Mohamad, ketika sedang berpantang penghujung tahun lalu banyak mematangkan dirinya.

Malah, Elvina, 24, berkata kejadian berkenaan mengukuhkan lagi rumah tangga yang dibina bersama usahawan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan.

“Saya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kerana tidak mahu lagi mengungkit kisah lalu. Saya sudah memaafkan kedua-dua pihak, iaitu wanita yang terbabit dan juga suami.

“Kontroversi yang melanda mematangkan saya, selain mengajar diri ini untuk tidak mudah melatah dengan apa yang terjadi. Paling utama, ia menjadikan hubungan saya dan suami semakin erat, serta lebih memahami diri masing-masing.

“Kami masih baharu dalam melayari bahtera perkahwinan, justeru banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Saya dan suami juga turut menggunakan kesempatan ini untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada anak kami, Karl Mateen,” katanya kepada BH Online.

Elvina berkata demikian ketika ditemui pada majlis akikah dan kesyukuran anak sulung mereka di Bukit Jelutong, di sini.


ELVINA dan anak lelakinya, Karl Mateen. - Foto Rohanis Shukri

Terdahulu, Elvina berkongsi mengenai seorang wanita yang dikatakan mengganggu rumah tangganya di laman sosial Instagram. Kemelut berpanjangan apabila Elvina memuat naik beberapa siri luahan hati mengenai perkara terbabit.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, Elvina berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang lakonan pada Mac depan.

“Jika tiada aral melintang, saya akan memulakan penggambaran drama bersiri, Geng Mak-Mak, yang turut menampilkan Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.

“Tidak sabar rasanya hendak kembali aktif dalam seni kerana ia memang minat saya sejak dulu lagi. Malah, suami juga turut memberi keizinan kepada saya untuk berlakon,” kata Elvina.

Elvina dan Mohd Haniff, 33, berkahwin di sebuah hotel di ibu kota pada 18 Mac 2018. Pasangan ini menimang cahaya mata sulung pada awal Disember lalu.

Berita Harian X