Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:31am
PELAKON, Fendy Bakry, bakal menandatangani kontrak bersama syarikat milik Asfan Shah, Blackbeast Entertainment. - Foto Saddam Yusoff

'Saya bukan nak cabar penyanyi terkenal'

KUALA LUMPUR: Selepas bakat lakonannya mula mendapat perhatian ramai sejak tahun lalu, Fendy Bakry mencabar diri dengan meneroka dunia seni suara pula.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 memaklumkan, dia disunting oleh komposer dan penyanyi terkenal, Asfan Shah, untuk bernaung selama setahun di bawah label miliknya, Blackbeast Entertainment.

Pelakon drama Mr Grey itu akan menandatangani kontrak bersama syarikat terbabit, bulan ini, sekali gus merakamkan single sulung yang dijangka dilancarkan Mac depan.

“Saya hanya cuba mencuri peluang dan berkongsi sedikit bakat yang ada. Saya menyertai dunia seni suara bukanlah untuk menyaingi penyanyi berpengaruh sedia ada, sebaliknya sekadar mencuba pasaran dan memeriahkan industri muzik kita.

“Saya sedar, diri ini bukanlah penyanyi dengan suara hebat, seperti beberapa vokalis terkemuka negara. Begitupun, dengan kepercayaan diberikan, sedikit sebanyak saya mampu berkongsi kemampuan yang ada.

“Pihak Asfan sendiri sudah maklum bentuk muzik atau lagu yang serasi dengan saya, seperti yang sering saya nyanyikan ketika berhibur di pusat karaoke,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama, Kan Ku Kejar Cinta Kamu (KKKCK), di ibu kota.

Menurut Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri, 30, dia berbangga apabila komposer terbabit bersedia memberikan peluang kepada pelakon sepertinya untuk menggilap bakat nyanyian mereka.

Kata Fendy, suaranya lebih terarah kepada genre pop dan jazz.

“Kalau nak diberikan contoh rujukan, suara saya lebih kepada Datuk Jamal Abdillah dan Zamani. Kata orang, penyanyi bersuara jantan. Begitupun, nada suara saya tidaklah setinggi mereka.

“Jadi, Asfan menghasilkan lagu mengikut keupayaan vokal saya. Ia boleh dikatakan sebuah karya dengan melodi urban yang disuntik rentak balada ‘kampung’,” ujar Fendy yang baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem, Lelaki Kacak Dari Dhaka, arahan Shuhaimi Lua.


AMYRA Rosli dan Fendy Bakry pada majlis tayangan drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu di Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

Menyentuh mengenai majlis anjuran kelab peminatnya, Fendynisme, itu pula, pelakon berkenaan bersyukur apabila berterusan mendapat sokongan mereka.

“Selain Fendynisme, kelab peminat Amyra Rosli juga turut serta, bersama-sama kumpulan Kaki Kipas Artis. Majlis ini turut mendapat sokongan pihak Global Station Sdn Bhd dan stesen penyiar drama KKKCK.

“Saya bersyukur kerana mereka terus utuh menyokong saya di belakang. Ketika saya sakit dulu pun, peminat mengadakan majlis doa selamat untuk saya,” katanya.

Berita Harian X