Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:58pm
PENYANYI, Amylea dan Kaer, bakal muncul dengan lagu duet baharu yang juga runut bunyi drama Nur 2. - Foto Mahzir Mat Isa
AMYLEA dan Kaer ketika beraksi pada minggu pertama separuh akhir Muzik Muzik 33 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. - Foto Zunnur Al Shafiq

Komposer lagu Amylea, Kaer tertekan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amylea Azizan dan Kaer Azami, bakal melancarkan lagu baharu mereka yang juga runut bunyi drama rantaian Nur 2 selepas berakhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33.

Menurut Amylea, dia dan komposer, Farouk Roman, menyiapkan lima lagu untuk drama yang pernah mencetuskan fenomena itu, Ramadan tahun lalu. Nur 2 dijangka akan menemui penonton TV3 pada awal April depan.

Menerusi musim pertama drama berkenaan, dua penyanyi itu popular dengan lagu Tak Pernah Hilang, karya yang turut bersaing pada anugerah berprestij terbabit, Ahad ini.

“Ketika ini, kami belum boleh berkongsi maklumat lanjut mengenai lagu berkenaan. Apa yang boleh dikatakan, lima lagu disediakan untuk Nur 2. Indah Ruhaila dan Marsha masing-masing menyampaikan sebuah lagu dan satu lagi dinyanyikan oleh bakat baharu.

“Menerusi lagu ciptaan saya bersama Farouk itu juga, peminat akan dapat menyaksikan ‘comeback’ bertenaga daripada Indah dan Marsha.

“Lagu yang dinyanyikan oleh Indah dihasilkan oleh saya sepenuhnya, manakala bagi empat karya selebihnya, Farouk mencipta melodinya manakala saya bertindak sebagai penulis lirik,” katanya kepada BH Online.

Nur 2 yang kini dalam proses penggambaran menyaksikan kemunculan bintang asalnya seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Amylea tidak menafikan, selaku komposer, Farouk berasakan sedikit tekanan berikutan sambutan luar biasa diberikan kepada lagu Tak Pernah Hilang. Sehingga kini, video muzik lagu itu sudah ditonton lebih 11 juta kali di YouTube.

“Namun, saya tidak pernah sangsi dengan karya Farouk, malah yakin dengan hasil ciptaannya. Saya juga tak risau dengan penerimaan orang ramai kerana rezeki tetap di tangan Tuhan. Kami hanya perlu melakukan yang terbaik.

“Cuma, saya akui tidak sabar apabila adanya tambahan penyanyi untuk runut bunyi Nur 2. Sebelum ini, kami hanya menyediakan dua lagu untuk Nur, namun kali ini lima. Ia akan dikeluarkan sekitar satu atau dua minggu selepas AJL 33,” katanya.

Kata Amylea juga, dia dan Kaer dijadualkan muncul dengan single solo masing-masing, tahun ini.

Sementara itu, menyentuh penyertaan pada AJL kali ini, Kaer memberitahu, mereka kini giat mengadakan latihan.

“Bagi saya yang julung kali akan beraksi di pentas akhir pertandingan itu, tentunya berazam untuk memberikan persembahan terbaik dan penuh penghayatan buat penonton.

“Bagi kami, aspek penyampaian dan penghayatan adalah lebih sukar daripada menyanyi. Jadi, saya mahu penonton dapat berasakan penghayatan kami nanti, biarpun ia dilihat sebagai persembahan yang ‘minimal’,” katanya.

Sebelum ini, pada AJL 22, lagu dendangan Kaer hasil ciptaan Azlan Abu Hassan dan Sulu Sarawak, Izinku Pergi, diumumkan sebagai juara kategori Balada. Namun, pada pertandingan akhir berkenaan, ia disampaikan oleh Sahri.

Berita Harian X