Isnin, 28 Januari 2019 | 6:01pm
Diusik agar membawa hubungan dalam drama ke alam realiti, Mira bagaimanapun menganggap andai itu harapan peminat, bermakna aksi dirinya dan Remy dalam drama Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan memberi impak. Foto IG Mira Filzah

'Pakai niqab pun orang kenal'

KUALA LUMPUR: Penangan watak Tiara dalam drama Pujaan Hati Kanda, Mira Filzah tak menang tangan melayan peminat yang mengenali dirinya biarpun berniqab ketika mengerjakan ibadat umrah, minggu lalu.

Menceritakan pengalaman di Makkah, Mira, 26, tidak menyangka lakonannya dalam drama yang turut menampilkan Remy Ishak itu cukup meninggalkan kesan hingga disapa peminat dengan panggilan Tiara.

“Saya memakai niqab dengan harapan tidak ada orang yang kenal saya. Ini kerana saya mahu memberi fokus dan beribadat sepenuhnya.

“Terasa lucu apabila sedang mengaji, ada orang tepuk bahu dan panggil saya ‘Tiara’.

“Dalam satu insiden lain, ketika saya sedang berusaha mencium Hajarul Aswad, ada peminat merakam aksi saya itu dan memuat naik di Twitter,” katanya kepada BH Online.

Mira atau nama penuhnya, Nur Amirah Filzah Badiozaman pulang ke tanah air kelmarin, selepas menunaikan ibadat umrah selama dua minggu bersama keluarga.

Mengenai pengalaman berlakon dengan Remy, Mira berkata, pertama kali mereka digandingkan dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan.

“Secara kebetulan, kami berlakon bersama dalam dua drama termasuk Pujaan Hati Kanda yang turut mendapat maklum balas baik.

“Kebanyakan peminat dua drama terbabit adalah sama. Saya lihat drama Lelaki Kiriman Tuhan lebih kepada penonton yang sudah berusia dan matang.

“Ini mungkin kerana penceritaannya yang agak berat,” katanya.

Diusik pertanyaan ada peminat mahu hubungan yang dilakonkan dengan Remy dibawa ke alam realiti, Mira menganggap andai itu yang dimahukan, bermakna aksi mereka berkesan.

“Kalau peminat mahu lihat kami bersama secara realiti, saya anggap lakonan kami berjaya menyentuh hati penonton.

“Bekerjasama dengan Remy adalah suatu pengalaman yang baik. Ini kerana dia banyak membantu saya. Ini membuatkan kerja lakonan kami jadi mudah dan cepat,” katanya.

Selain Mira dan Remy, Lelaki Kiriman Tuhan arahan Rashid Sibir dibintangi Rozita Che Wan, Talha Harith, Kartina Aziz, Harris Anuar, Riana AF dan Uyaina Arshad.

Semalam, Mira hadir pada majlis bertemu peminat drama berkenaan di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Berita Harian X