Isnin, 28 Januari 2019 | 11:02am
Dayang tidak sabar menantikan konsert solo meraikan dua dekad pembabitannya dalam dunia muzik, Julai depan. Lebih mengujakan, konsert itu diadakan sehari selepas hari jadinya yang ke-38. Foto IG Dayang Nurfaizah

Konsert solo hadiah hari jadi Dayang

KUALA LUMPUR: Dayang Nurfaizah menyifatkan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya, di sini pada 21 Julai depan sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.

Mengaku teruja menantikan saat itu, Dayang memberitahu, sehari sebelum konsert solonya, dia bakal meraikan ulang tahun kelahiran ke-38.

“Walaupun konsert itu diadakan sehari selepas hari jadi Dayang, ia tetap menjadi hadiah yang cukup bermakna buat diri Dayang.

“Sebelum ini, kalau Dayang buat konsert, pasti ada penyanyi lain yang akan digandingkan. Bagaimanapun, kali ini, Dayang mahu konsert itu menjadi hak eksklusif Dayang sahaja.

“Kalau boleh, memanglah Dayang hendak buat konsert pada 20 Julai, iaitu pada hari jadi Dayang. Namun, kebetulan pada tarikh itu, IB tiada ruang,” katanya kepada BH Online.

Biarpun ramai peminat menantikan konsert solo daripada penyanyi Separuh Matiku Bercinta ini, namun penganjurnya, Shiraz Projects menetapkan persembahan hanya untuk satu malam.

“Dayang selesa untuk membuat persembahan satu malam sahaja. Ini kerana Dayang mahu bersikap adil kepada penonton.

“Kalau buat dua atau tiga hari, Dayang takut akan ada perbezaan tidak kiralah daripada segi persembahan atau cara nyanyian Dayang.

“Lagipun, ini strategi mana-mana penaja untuk menganjurkan lagi konsert Dayang pada masa akan datang,” kata Dayang lagi.

Mengulas persiapan menghadapi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, Ahad ini, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui sedikit tertekan.

“Selalunya Dayang buat persembahan secara solo. Jadi, kalau ada silap, Dayang tanggung seorang. Tapi kali ini berbeza kerana Dayang berduet.

“Tak mahulah nanti kalau ada kesilapan, rakan duet Dayang pula yang terpaksa tanggung sama.

“Bagaimanapun, setakat ini, latihan lancar. Dayang harap semua urusan dipermudahkan,” katanya yang akan bertanding atas tiket lagu Haram bersama Hael Husaini.

Berita Harian X