Ahad, 27 Januari 2019 | 7:31pm
Nabila berharap percaturan terbaru melalui single Vroom Vroom ciptaan Hael dan Ezra mampu mengulangi kejayaan lagu terdahulu, Pematah Hati. Foto IG Nabila Razali

Vroom Vroom capai sejuta tontonan

KUALA LUMPUR: Kontroversi atau gimik, video muzik single terbaru Nabila Razali berjudul Vroom Vroom sudah menerima lebih sejuta tontonan selepas empat hari dilancarkan, Rabu lalu.

Dikatakan berdepan masalah teknikal berikutan gagal merekodkan jumlah tontonan atau tanda ‘like’ (suka) beberapa jam selepas dimuat naik di laman muzik popular itu, Vroom Vroom mula meraih perhatian peminat.

Berkongsi berita gembira itu, Nabila bersyukur dengan penerimaan dan reaksi positif peminat terhadap lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

“Pada hari pelancaran, kami berdepan masalah teknikal membabitkan rekod tontonan dan tanda suka. Namun, alhamdulillah, masalah sudah diatasi dan jumlah ‘view’ mula dicatatkan.

“Saya sangat gembira video muzik Vroom Vroom kini merekodkan lebih sejuta tontonan dalam masa empat hari dilancarkan,” katanya kepada BH Online.

Ketika ini, muzik video itu turut menduduki tangga kedua sohor kini Malaysia dengan 38,000 tanda suka.

Nabila berharap lagu Vroom Vroom yang berasaskan genre pop rock dapat diterima seperti single terdahulu, Pematah Hati.

“Kepada mereka yang tidak suka, mungkin perlu diberi masa untuk menerima lagu ini,” katanya.

Muzik video Vroom Vroom turut menampilkan artis lain seperti Fendy Bakry, Ara Johari, Sharifah Rose dan Nia Atasha.

Muzik video itu boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Vroom Vroom boleh didengar di semua pelantar digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KK BOX, Deezer dan iTunes mulai Jumaat ini.

Berita Harian X