Sabtu, 26 Januari 2019 | 1:31pm
ANGGOTA kumpulan Forteen, Ameer, akan berkahwin dengan gadis pilihannya, Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, pada Mac depan. - Foto IG Ameer

Ameer Forteen pilih majlis kahwin sederhana

KUALA LUMPUR: Bakal berkahwin pada 1 Mac depan, anggota Forteen, Ameer, memaklumkan majlis hari bahagianya dengan gadis pilihan, Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, akan dilangsungkan secara sederhana di ibu kota.

Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 28, juga berkata, persiapan majlis perkahwinannya kini hampir selesai dilakukan.

“Majlis kahwin saya nanti memang diadakan pada skala sederhana. Kami akan bernikah di masjid dan keesokannya saya dan isteri diraikan dalam majlis resepsi pula.

“Setakat ini, segala perancangan berjalan lancar. Bakal isteri turut banyak membantu melakukan persiapan, apatah lagi ketika ini saya juga sibuk menghasilkan single terbaru bersama Forteen. Ia akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada BH Online.

Ameer bertunang dengan Siti Nurnaja’a, 24, pada 13 Oktober tahun lalu di Taman Melati, Setapak.

“Kami sudah lebih setahun berkenalan menerusi media sosial. Beberapa bulan selepas saling mengenali, saya meminta keluarga untuk meminang dirinya.

“Seterusnya, kami memilih tarikh untuk melangsungkan perkahwinan. Semuanya berjalan dengan pantas dan bagai dipermudahkan. Saya sendiri jika diizinkan mahu mempercepatkan perkara yang baik.

“Saya percaya, soal jodoh ada kalanya berlaku seperti magis dan terjadi dalam sekelip mata. Pada masa sama, ada hubungan yang memakan masa panjang, tetapi belum tentu berakhir dengan ikatan sah,” katanya.


AMEER bakal muncul dengan single terbaru bersama kumpulan Forteen tidak lama lagi. - Foto Owee Ah Chun

Menyentuh single terkini Forteen, Ameer berkata, lagu itu adalah hasil ciptaan Adam Armin dan Yusoff.

“Istimewanya, lirik lagu ini ditulis oleh saya dan anggota Forteen yang lain. Ia masih dalam proses adunan dan belum mempunyai judul yang sesuai,” katanya mengenai lagu berkisar pada kisah percintaan itu.

Berita Harian X