Selasa, 22 Januari 2019 | 11:30am
SABRINA kecewa apabila ditawarkan watak tidak bersesuaian usia. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nak bagi tawaran biar logik - Sabrina Ali

KUALA LUMPUR: Bukan sombong atau menolak rezeki, sebaliknya pelakon, Sabrina Ali kecewa apabila ditawarkan watak yang tidak bersesuaian dengan usianya.

Sabrina, 37, berkata, dia bingung apabila pernah ditawarkan sebagai ibu kepada pelakon, Saharul Ridzwan, sedangkan usia mereka tidak jauh beza.

“Saya bukan cerewet, tetapi rasanya saya tidak bersedia untuk tua sebelum waktunya.

“Jarak usia kami hanya beberapa tahun, jadi adakah sesuai saya menjadi ibunya? Lainlah kalau ditawarkan berlakon sebagai adik-beradik, itu memang logik.

“Biarpun pihak produksi memberi jaminan mereka boleh mengubah wajah saya kelihatan lebih berusia, saya tetap menolak kerana watak itu tidak sesuai,” katanya.

Pelakon filem Dorm Melati, Makrifat Cinta dan KL Special Force itu berkata, dia tidak faham dengan pemikiran segelintir produser dan pengarah yang menawarkan watak ibu kepada pelakon yang masih muda.

“Kita mempunyai ramai pelakon yang layak membawa watak ibu, tetapi kenapa mereka tetap mencari pelakon yang tidak sesuai membawa peranan itu?

“Bukan saya tidak pernah membawa ibu, tetapi ikut kesesuaian. Saya pernah digandingkan dengan Aliff Aziz sebagai ibu dan anak menerusi drama Sejuta Rasa Buat Adelia, tahun lalu.

“Saya terima kerana watak itu menggambarkan saya mengandung anak luar nikah ketika masih bersekolah. Jadi, memang logik jika saya mempunyai anak yang kelihatan remaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabrina memaklumkan, dia baru menyelesaikan penggambaran telefilem, KL Gangster Underworld sebagai mafia wanita bernama Victoria Cortez untuk siaran Iflix.

Berita Harian X