Isnin, 21 Januari 2019 | 7:11pm
AMELINA berkongsi kisah hidup dengan peminat menerusi lagu Janda Anak Enam. Foto Amiruddin Sahib

Amelina sindir lelaki menerusi lagu Janda Anak Enam

KAPAR: Penyanyi, Amelina, 45, mengakui, single dangdut terbarunya, Janda Anak Enam dihasilkan sebagai sindiran sinis terhadap lelaki yang pernah mempersiakan teman hidup mereka.

Menerusi lagu itu juga, pemilik nama, Norazlina Amir Sharipuddin mahu membuktikan, wanita mampu teruskan hidup tanpa lelaki di sisi.

Amelina berkata, lagu ciptaan Kucing Manja yang juga adik kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu menyingkap kisah hidupnya sebagai ibu tunggal sejak lima tahun lalu.

“Lagu ini juga saya tujukan kepada semua lelaki di luar sana, malah ia mewakili suara ibu tunggal lain kerana saya faham perjalanan yang mereka tempuhi selepas berpisah.

“Apabila berlaku kemusnahan dalam rumah tangga, mesti ada cerita di sebaliknya. Saya tidak perlu malu untuk berkongsi kisah hidup sendiri dengan orang luar,” katanya.

Amelina yang ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri 14 episod, Patah Sayap Bertongkat Paruh terbitan Zeel Production, di sini berkata, keseluruhan lirik lagu itu dihasilkan atas ideanya sendiri.

Lagu itu juga bagi Amelina, dianggap kesinambungan daripada lagu, Anak Dara yang pernah diterbitkan pada 2009.

“Alhamdulillah, penerimaan peminat sangat bagus dan sehingga kini, sudah ditonton lebih 150,000 di YouTube sejak dimuat naik pada Disember lalu.

“Lebih mengujakan apabila ada insan senasib yang mengubah lirik lagu itu berdasarkan situasi yang mereka lalui. Malah, janda yang tidak mempunyai anak juga tertarik dengan lagu ini,” katanya.

Bakal muncul dengan album mini dangdut yang dijangka diterbitkan tahun ini, Amelina berkata, dia sudah mempunyai lima lagu untuk dimuatkan dalam produksi itu.

“Saya turut merakamkan lagu pop sebagai tanda penghargaan terhadap peminat yang menyokong perjuangan saya di Gegar Vaganza.

“Lagu itu juga secara tidak langsung menangkis tanggapan, saya hanya sesuai menyanyikan lagu penyanyi lain. Memang saya minta lagu begitu kerana ia serasi dengan jiwa saya,” katanya yang membawakan watak Maznah dalam naskhah arahan Along Kamaludin itu.

Drama itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Fasha Sandha, Elly Mazlein, Cat Farish, Lydiawati, Jalil Hamid dan Zarul Hussin.

2307 dibaca
Berita Harian X