Isnin, 21 Januari 2019 | 5:14pm
BABY Shima membuat laporan polis kerana tidak tahan diganggu individu tidak dikenali di laman sosial. Foto Nurul Shafina Jemenon

Dia buat saya hilang sabar - Baby Shima

KUALA LUMPUR: Penyanyi Baby Shima berharap, laporan polis yang dibuat terhadap individu yang memaki hamunnya di laman sosial memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak sesuka hati melakukan perbuatan sama.

Baby Shima mendakwa, selain berdepan gangguan berterusan dan dilemparkan pelbagai perkataan melampau, termasuk dituduh sebagai pelacur, membuatkan dia nekad menggunakan saluran undang-undang.

“Saya bukan jenis hati tisu kerana sepanjang berada dalam industri hiburan sejak 2011, pelbagai dugaan dan kata-kata negatif saya hadapi. Tindakan individu itu bagaimanapun, keterlaluan dan melampaui had kesabaran.

“Dia juga tanpa takut mencabar supaya membuat laporan polis apabila saya berkongsi mengenai Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung fitnah di laman maya.

“Saya tidak boleh berdiam diri kerana orang seperti itu sanggup berbuat apa saja untuk memuaskan hati, walaupun tidak mengenali saya.

“Laporan polis itu juga sebagai pengajaran kepadanya dan sesiapa saja yang cuba mempermainkan undang-undang negara,” katanya kepada BH Online.

Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 27, membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara, selepas pulang dari menjayakan persembahan di Jakarta, Indonesia, minggu lalu.

Sejak memasuki program D'Academy Asia musim ketiga, setahun lalu, penyanyi yang dicungkil bakat menerusi Bintang Idola BH 2010 sering berulang-alik ke Jakarta untuk mengembangkan bakatnya.

Baby Shima berkata, walaupun sudah diberikan nasihat, individu itu terus berdegil dan sebaik laporan polis dibuat, dia mengubah cerita dengan mendakwa akaun peribadinya digodam.

“Pegawai penyiasat hanya menunggu saya pulang semula ke Kuala Lumpur untuk memberikan butiran lanjut.

“Tidak logik apabila dia beri alasan, akaunnya digodam atau sudah seminggu tidak aktif di laman sosial kerana sepanjang minggu itu, dia rajin memuat naik video menerusi IG Story,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes sebuah stesen televisyen di Indonesia yang tersilap memaparkan gambarnya dalam berita mengenai kes pelacuran dalam talian membabitkan artis negara itu, Baby Shima berkata, perkara itu sudah selesai.

Baby Shima berkata, dia bersama dengan wakil pengurusannya di negara itu sudah bertemu dengan syarikat televisyen terbabit, Jumaat lalu.

“Pihak televisyen sudah meminta maaf. Dalam laporan itu, mereka hanya menyebut nama beberapa artis termasuk singkatan BS. Jadi, ada yang menyangka Baby Shima hingga meletakkan gambar saya di paparan berkenaan.

“Saya harap isu itu tidak diperbesarkan kerana BS yang dimaksudkan itu bukan saya. Kesilapan teknikal itu sememangnya membuatkan saya tertekan dan sedih, tetapi saya mendapat sokongan penuh keluarga dan peminat yang mengetahui kedudukan sebenar.

“Saya hanya mencari rezeki di sana. Apabila terpalit dengan kontroversi begini, saya bimbang ia boleh menjejaskan usaha saya selama ini,” katanya.

6268 dibaca
Berita Harian X