Isnin, 21 Januari 2019 | 3:04pm
NABILA mencetuskan tanda tanya apabila memadam lebih 3,000 foto di Instagramnya, semalam. Foto Nurul Shafina Jemenon

Nabila buat gimik lagi?

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nabila Razali mencetuskan tanda tanya apabila memadam lebih 3,000 foto yang pernah dimuat naik di laman sosial, Instagram,

semalam.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Pematah Hati itu hanya meninggalkan sekeping gambar bersama catatan: ‘Mampukah ‘spanar hidup’ ini mendapat lebih 100,000 tanda suka’?

Perkara itu turut menjadi persoalan segelintir peminat yang menyangka laman sosial penyanyi itu digodam individu tidak bertanggungjawab.

Namun, segelintir peminat pula melihat ia sebagai gimik, memandangkan penyanyi itu bakal memperkenalkan single terbarunya dalam masa terdekat.


NABILA bersama ibu dan bapanya ketika menunaikan umrah, baru-baru ini. Foto ihsan Nabila Razali

Nabila yang dihubungi bagaimanapun, enggan mengulas perkara itu dan meminta peminat bersabar.

“Ia hanya ‘teaser’, bukan gimik” katanya ringkas.

Malah, penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon itu juga begitu teruja menanti detik untuk melancarkan single terbarunya.

“Sudah lama menanti, akhirnya 2019 menjadi saksi penantian panjang itu berakhir,” katanya.

Nabila sebelum ini, pernah mencetuskan polemik apabila menggunakan gimik putus cinta dengan pelakon, Aedy Asyraf sebelum melancarkan Pematah Hati.

Meskipun usahanya itu mendapat kritikan ramai, lagu itu berjaya meraih perhatian apabila mencatat sejuta tontonan dalam tempoh 24 jam dilancarkan.

Berita Harian X