Isnin, 21 Januari 2019 | 9:30am
Ernie tidak keberatan berkongsi tip mengenai teknik kawalan vokal kepada Eira Syazira yang mula mencipta nama sebagai penyanyi di Indonesia. - Foto Instagram Ernie Zakri

Ernie ajar Eira menyanyi

KUALA LUMPUR: Layangan mesej peribadi melalui Instagram membuka hati Ernie Zakri menjadi guru vokal kepada penyanyi tempatan yang mula mencipta nama di Indonesia, Eira Syazira.

Ernie atau nama penuhnya, Nur Ernie Shahirah Zakri mengaku rasa bertanggungjawab membantu Eira yang mahu mencari tapak dalam industri muzik di seberang.

“Dikenali di Malaysia melalui bidang lakonan, Eira mula mencipta nama di Indonesia sebagai penyanyi. Apa yang menarik, dia diberi kepercayaan membuat persembahan pada sambutan tahun baharu.

“Kebetulan saya terlihat mesej peribadi yang dikirim Eira di mana dia mahu belajar vokal daripada saya. Saya nampak potensi Eira dalam bidang nyanyian dan sedia berkongsi ilmu,” katanya kepada BH Online.

Ernie berkata, jika tidak dapat bersemuka dan berlatih bersama, dia akan menilai persembahan Eira dalam klip video yang dihantar.

“Jika Eira ada persembahan di Indonesia dan kesuntukan masa berlatih, kami ambil pendekatan di mana saya memberi komen melalui video atas persembahan yang dirakamkan,” katanya.

Selain Eira, penyanyi yang tampil dengan single terbaru berjudul Ku Bersuara itu turut menjadi guru vokal kepada kumpulan De Fam, Khai Bahar, Syamel dan ramai lagi.

Biarpun rezeki tidak berpihak kepadanya untuk bertanding di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33), bulan depan, jadual Ernie tetap padat terutama sebagai pembimbing vokal.

Kerjaya seni Ernie terus berkembang selepas diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Cinta duet bersama Syamel pada AJL32.

Berita Harian X