Ahad, 20 Januari 2019 | 6:25pm
Lan Solo mahu meletakkan noktah dalam kemelut yang dikatakan menghimpit dirinya dengan kumpulan Kristal. Sempena tahun baharu, Lan tampil dengan single Twist Abang Sayang. - Ihsan IG Lan Solo

'Sudah-sudahlah... Kita fikir positif'

KUALA LUMPUR: ‘Ibarat sudah berkahwin baharu, cukup-cukuplah.’

Begitulah perumpamaan dikongsi Lan Solo ketika diminta mengulas kontroversi terbaru apabila pemain gitar kumpulan Kristal yang pernah dianggotainya, Rody, mendakwa dia menyekat mereka daripada mengikuti perkembangan di laman sosial.

Enggan memanjangkan kemelut bersama Kristal, Lan tetap meneruskan hasrat berkongsi pentas di konsert solo bersama semua bekas anggota kumpulan yang popular dengan lagu Seragam Hitam itu.

Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof mahu meletakkan noktah kepada pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen terhadap mereka atas alasan masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

“Usaha saya untuk menyuntik semangat bekas anggota kumpulan Kristal masih diteruskan.

“Mengikut perancangan, kami bakal memulakan latihan, minggu hadapan. Rasanya, tidak perlu lagi dipanjangkan kepada individu yang masih lagi menganggotai kumpulan itu.

“Ibarat sudah berkahwin baharu, mereka sudah ada vokalis gantian dan saya pula ada kerjaya solo. Kami membawa haluan berbeza dan tidak perlu diungkit kisah silam yang hanya akan mengeruhkan keadaan,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, spekulasi mengenai hubungan Lan dan kumpulan Kristal bertebaran apabila penyanyi itu mengumumkan mahu beraksi bersama bekas anggota band itu pada konsert solo di ibu negara, Mac depan.

Terkini, Rody mendakwa Lan menyekat anggota lain di Instagram lalu terputus hubungan melalui media sosial.

Lan mahu semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya dan kumpulan Kristal.

“Kita fikir saja perkara positif demi kebaikan kerjaya masing-masing. Saya tidak mahu lagi membuat sebarang kenyataan mengenai isu ini,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Lan rancak mempromosikan single terbaru yang berjudul Twist Abang Sayang ciptaannya dengan lirik dihasilkan Rozi Sang Dewi.

“Lagu ini memaparkan dimensi berbeza apabila saya menyanyikan irama Twist. Sengaja saya hadir dengan irama ini bagi membangkitkan suasana ceria dan ‘happening’ pada tahun baharu.

“Moga aura positif ini dapat membangkitkan mood yang baik-baik buat kita semua.

“Mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk dihasilkan, saya merancang perjalanan seni saya sepanjang 2019 dengan single ini,” katanya.

Berita Harian X