Ahad, 20 Januari 2019 | 3:06pm
Pak Nil seronok berkongsi klip video parodi drama tempatan popular. Pada perkongsian ini, Pak Nil tidak ketinggalan menyahut cabaran perbezaan wajah 10 tahun yang sedang viral. Foto IG Aznil Nawawi.

'Tiada siapa bayar, saja suka-suka'

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi tidak menyangka beberapa klip video parodi yang dimuat naik di Instagram, sejak akhir-akhir ini, mendapat sambutan pengikut.

Aznil yang mesra disapa Pak Nil memberitahu, klip video terbabit disunting secara suka-suka, tanpa dibayar mana-mana pihak bagi tujuan promosi.

“Saya mula membuat parodi ini sejak menonton drama Jangan Benci Cintaku hinggalah Pujaan Hati Kanda yang sedang hangat sekarang.

“Saya lakukannya selepas tengok tontonan drama terbabit tinggi. Secara tak sengaja, saya terfikir membuat parodi. Tak sangka pula klip suntingan saya mendapat permintaan peminat.

“Tidak ada siapa yang bayar saya, hanya suka-suka buat parodi. Saya jadi suka pula malah pelakon drama terbabit turut meninggalkan komen positif,” katanya kepada BH Online.

Antara pelakon drama terbabit yang memuji klip video parodi Pak Nil termasuk Saharul Ridzwan, Zahirah Mcwilson, Remy Ishak dan Mira Filzah.

Aznil berkata, dia kini menjadikan kerja penyuntingan klip video parodi sebagai hobi masa lapang.

“Saya bangun pagi saja, pasti ada yang minta saya membuat klip parodi baharu.

“Saya selalu menyunting video ketika malam sebelum tidur. Jadi, apabila bangun pagi, saya seronok tengok orang gembira menonton klip video yang dimuat naik.

“Apabila ramai pengikut gembira, lagilah saya bersemangat,” katanya yang cukup meminati drama tempatan.

2947 dibaca
Berita Harian X