Ahad, 20 Januari 2019 | 9:35am
PENYANYI, Zamani, menyatukan semua kelab peminatnya bagi bakal mengelakkan kekeliruan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Terima kasih doa saya sembuh - Zamani

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zamani Ibrahim, 48, bersyukur kesihatannya bertambah baik selain masih mengikuti beberapa kaedah rawatan dalam usaha mengubati penyakit skoliosis dihidapinya.

Bagaimanapun, penyanyi Gerimis Mengundang itu tidak mahu memperbesarkan masalah tulang belakang melengkung yang dialaminya kerana enggan membuatkan peminat bimbang.

“Alhamdulillah, masalah dialami tidak menghalang saya melakukan aktiviti seharian. Saya juga bersyukur apabila banyak pihak sudi menaja perubatan saya, seperti berurut secara tradisional.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan saya sembuh, terutama peminat yang sering risaukan keadaan saya,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis memperkenalkan kelab peminatnya, di sini.

Mengulas penubuhan kelab terbabit, jelas Zamani, ia diwujudkan bagi menyelesaikan kekeliruan dihadapi oleh peminat.

“Sebelum ini, saya memang mempunyai kelab peminat, Zamani Fan Club. Tetapi, selepas keluar daripada program realiti, Gegar Vaganza 5, jumlah kelab peminat saya bertambah.

“Berikutan itu, bagi mengelakkan kekeliruan atau terlepas pandang, saya membuat keputusan menyatukan semua kelab terbabit menjadi satu, iaitu Zamanians.

“Saya berbuat demikian bukanlah kerana kepentingan diri sendiri, sebaliknya bagi menghargai semua peminat atas sokongan mereka, walaupun selepas kontroversi melanda,” katanya.

Selain itu, Zamani turut berkongsi mengenai penubuhan syarikat baharunya, Zamani Ibrahim Music Entertainment (Zime) Productions, yang diusahakan bersama anggota keluarga.

“Sebelum ini, saya bergerak bersama Johan Aziz, tetapi sekarang saya sudah mempunyai syarikat sendiri. Ia bukan bermakna saya melupakan jasa pihak yang banyak berjasa kepada saya. Namun, selepas 25 tahun, apa salahnya saya cuba kembangkan lagi sayap kerjaya seni?

“Sampai bila saya nak menyanyi dengan tahap kesihatan seperti sekarang? Mungkin dengan adanya Zime Productions, saya boleh menguruskan juga artis lain andai tidak lagi boleh menyanyi nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamani akan tampil dengan single baharu, Aduh, ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, sekitar Mac depan.

“Single itu akan mengetengahkan bunyian pop agak moden dan berbeza daripada lagu pernah saya sampaikan sebelum ini.

“Saya risau juga jika cara penyampaian saya dilihat kurang sesuai, namun itulah cabaran perlu saya sahut,” katanya yang turut merancang mengadakan konsert bersama Slam, sempena 25 tahun penubuhannya.

1493 dibaca
Berita Harian X