Sabtu, 19 Januari 2019 | 5:50pm

Lan sekat kami di laman sosial - Rody Kristal

• Hubungan antara pemain gitar Kristal, Rody, dan bekas vokalis kumpulan berkenaan, Lan Solo, dikatakan keruh selepas wujud perselisihan faham sehingga penyanyi itu meninggalkan kumpulan terbabit untuk bergerak sendiri, pada November 2017.

• Sejak insiden berkenaan, ramai peminat tertanya-tanya, apakah kesudahan ‘drama’ membabitkan dua selebriti ini dan apakah persahabatan sejak di bangku sekolah itu akan terputus terus ataupun masih ada harapan untuk hubungan mereka kembali jernih.

• Rody tidak berasakan ada keperluan untuk terbabit dalam konsert Lan Solo kerana masih lagi anggota Kristal

• Cuba mengelak untuk bekerjasama dengan vokalis lain kerana tidak mahu penyanyi sedia ada terasa hati

• Mengaku sudah disekat Lan Solo daripada mengikuti perkembangan dirinya di media sosial


Kumpulan Kristal (dari kiri) Kechiq, Acap dan Rodi membuat persembahan ketika sidang media mengenai konsert sempena ulang tahun ke 30 tahun kumpulan XPDC di Restoran Dsaji,Taman Tasik Titiwangsa. - Foto Amirudin Sahib

Vokalis baharu kumpulan Kristal, Mohammad Fauzi Kamarudin dikenali sebagai kecik (depan), bersama Gitaris, Muhamad Rodi Baharuddin dikenali sebagai Rodi (kanan), Drummer, Muhamad Ashraff Baharuddin dikenali sebagai Acap (belakang), dan Bassist, Muhammad Afifi Nor Mohamed dikenali sebagai Kechiq Afifi , ketika Majlis memperkenalkan penyanyi baru Kristal dan pelancaran single terbaru, ‘Cintaku Kristal’ di House Restaurant, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Pelbagai spekulasi kurang enak mengenai kumpulan Kristal dan Lan Solo terus bertebaran walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Pendek kata, selagi tidak duduk bersemuka, selagi itulah ada sahaja cerita panas membabitkan mereka, sekali gus menjadi bahan perbualan netizen.

Baru-baru ini, Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yusof ada memberitahu dia ingin mengumpulkan semua bekas anggota kumpulan yang cukup popular dengan lagu Seragam Hitam dan Selagi Ada Rindu untuk beraksi bersama-samanya pada konsert solonya yang bakal berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), 2 Mac depan.

Berita itu tentunya membuatkan ramai yang ingin tahu, apakah Rody juga diundang untuk menjayakan persembahan terbabit. Bertemu pemilik nama lengkap Mohd Rodi Baharudin ini pada sebuah majlis, baru-baru ini, soalan sama diajukan kepadanya.

Menurut pemuzik berusia 33 tahun itu, dia dan semua anggota Kristal sedia ada tidak perlu terbabit dalam konsert Lan kerana mereka masih bersama dalam kumpulan berkenaan.

“Lan hanya mengundang bekas anggota Kristal dan dia juga sudah pun meninggalkan kumpulan ini. Saya dan anggota Kristal lain rasanya tidak perlu untuk terbabit dalam projek yang menghimpunkan bekas anggota kumpulan ini. Begitupun, kalau nak panggil saya, rasanya tiada masalah.


Lan Kristal membuat persembahan pada Konsert Gegar Vaganza di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Asalkan bayarannya berbaloi, saya tak ada masalah. Buat apa nak tolak rezeki? Apapun, kena juga ambil kira penyanyi kami, Kechik. Tak mahulah dia terasa hati,” katanya kepada BH ketika ditemui pada majlis sidang media Live Showcase - XPDC Metal Live & Un-Metal di ibu negara.

Pada konsert berkenaan, Kristal akan muncul sebagai artis undangan bagi meraikan kumpulan yang cukup popular dengan lagu C.I.N.T.A itu.

Walaupun mengakui tidak mempunyai masalah dengan penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single berjudul Berpisah Tanpa Rela itu, Rodi berkata, sudah lama dia tidak berhubungan dengannya. Malah, dia mendedahkan Lan turut menyekat mereka daripada mengikuti perkembangan dirinya di laman sosial.

“Awal-awal lagi dia sudah sekat kami di Instagram. Tapi saya tak kisah pun. Macam orang bercinta, kalau putus, mesti bekas pasangan akan sekat masing-masing di laman sosial. Begitulah yang boleh diumpamakan mengenai kes kami.

“Bagi pihak saya sendiri, saya tak pernah menyekat sesiapa,” katanya yang baru sahaja menimang cahaya mata lelaki bernama Adithya Jabbar, 14 Januari lalu.

Beralih kepada kerjaya seni, Rody memberitahu, mereka kini mencari material sesuai untuk pembikinan album terbaru Kristal.

“Mengikut cadangan awal, selain lagu Melayu, kami juga mahu menyelitkan lagu Inggeris dalam album baharu nanti. Selain inginkan kelainan, ia juga sebahagian langkah kami untuk menggapai cita-cita ke peringkat antarabangsa. Buat masa ini, kami sedang mencari lagu sesuai,” ujarnya.


Kumpulan Kristal (dari kiri) Kechiq, Acap dan Rodi membuat persembahan ketika sidang media mengenai konsert sempena ulang tahun ke 30 tahun kumpulan XPDC di Restoran Dsaji,Taman Tasik Titiwangsa. - Foto Amirudin Sahib

Berita Harian X