Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:30am
ADIRA berazam bebaskan diri daripada belenggu kontroversi demi dua anak kesayangannya. Foto Zulfadhli Zulkifli.

Demi anak, Adira tak mahu lagi dibelenggu kontroversi

KUALA LUMPUR: Bahagia dengan dua cahaya mata, Adira Suhaimi menegaskan, dia cuba mengelak daripada terpalit isu kontroversi kerana bimbang ia memberi kesan kepada anak kesayangannya.

Adira atau nama lengkapnya, Siti Adira Suhaimi yang bernikah dengan Datuk Seri Adnan Abu pada 3 Disember 2015 juga berharap, rumah tangganya tidak lagi menjadi bahan spekulasi ramai kerana dia bahagia dengan jalan yang dipilihnya.

“Alhamdulillah, rumah tangga saya biasa-biasa saja, jadi tolong jangan buat sebarang andaian tanpa usul periksa kerana bimbang nanti memberi impak kepada pihak lain.

“Kalau boleh saya tidak mahu lagi terpalit dengan sebarang kontroversi sepanjang tahun ini kerana gusar ia mengganggu emosi anak,” katanya.

Ibu kepada Anggrek dan Assan itu juga berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk meninggalkan dunia nyanyian, meskipun rutin hariannya kini semakin padat.

“Masih banyak yang ingin saya capai sebelum meninggalkan bidang nyanyian, apatah lagi apabila ia menjadi sumber pendapatan utama saya,” katanya.

Kembali dengan single terbaru, Pujaan Hati, Adira bersyukur, percubaan mempertaruhkan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Omar K membuahkan hasil.

Turut terpilih menjadi runut bunyi drama bersiri, Pujaan Hati Kanda yang dibintangi Remy Ishak, Mira Filzah, Syazwan Zulkifly, Sarah Hildebrand dan Reen Rahim, Adira berharap, kesediaannya melakonkan babak bersentuhan dalam video muzik lagu itu tidak diperbesarkan.

“Saya sekadar melakonkan babak untuk disesuaikan dengan jalan cerita video muzik itu, namun saya tetap menjaga batas sebagai isteri dan ibu.

“Perkara itu sudah saya maklumkan kepada suami dan dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat apabila saya mahu kembali aktif.

“Cuma saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan kerana saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan kontroversi,” katanya.

1064 dibaca
Berita Harian X