Selasa, 15 Januari 2019 | 7:00pm
SARAH dan Shuib kagum cara Syafiq mengawal emosi dalam lakonan. Foto IG Indigital Music

Sarah pilih 'Ustaz Adam'

KUALA LUMPUR: Teka-teki pelakon lelaki yang mendampingi Siti Sarah Raissuddin dalam klip video lagu terbarunya, Semakin terjawab apabila penyanyi itu memilih Syafiq Kyle.

Mengulas pemilihan pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur itu, Sarah berkata, selain atas kehendak suaminya, Shuib, Syafiq juga memiliki kredibiliti tersendiri dalam bidang lakonan.

“Memang ada beberapa nama pelakon dalam senarai, namun Syafiq adalah pilihan pertama saya dan suami.

“Saya memang meminati lakonan Syafiq terutama cara dia mengawal emosi. Sepanjang penggambaran berlangsung, Syafiq banyak membantu untuk menghidupkan watak.

“Tidak dinafikan, agak berdebar berlakon dengannya kerana ia kali pertama kami bertentang mata,” katanya.

Selain Syafiq, tiga pelakon lelaki lain yang disebut-sebut membintangi video muzik itu adalah Zul Ariffin, Remy Ishak dan Fikry Ibrahim.


SARAH dan Syafiq bersama pengarah video muzik Semakin, Shuib dan CK Faizal. Foto IG Sarah Raissuddin

Sementara itu, Syafiq mengakui, dia teruja kerana peluang membintangi video muzik julung kali diterima.

Pelakon berusia 27 tahun itu berkata, membintangi video muzik turut memberikan cabaran apabila terpaksa beraksi tanpa dialog.

“Saya terima tawaran ini kerana Sarah diakui ramai sebagai penyanyi yang bagus. Kebetulan tidak sibuk, jadi saya terima tawaran yang datang.

“Diakui agak sukar berlakon tanpa dialog, mujur lagu Semakin diputarkan sepanjang penggambaran untuk membangkitkan mood,” katanya.

Video muzik arahan Shuib dan CK Faizal itu boleh dilayari menerusi YouTube bermula jam 5 petang tadi.

2447 dibaca
Berita Harian X