Ahad, 13 Januari 2019 | 1:31pm
NADIA memohon semua pihak supaya berhenti mengecam suaminya di laman sosial. Foto Osman Adnan

'Henti kecam Tauke, dia tak bersalah'

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Tauke Jambu, Nadia Mohd Effendi memohon orang ramai supaya berhenti mengecam suaminya kerana pelawak itu tidak bersalah dalam kemelut rumah tangga mereka.

Nadia, 30, dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram Story, semalam berkata, kekalutan yang berlaku berpunca daripada kesilapannya kerana terlalu mengikut kata hati.

Turut membuat permohonan maaf dalam kenyataan itu, Nadia juga berharap, semua pihak berhenti mengecam suaminya.

“Di sini, saya ingin membuat permohonan maaf kepada suami. Memang saya yang salah dalam semua hal dan apa yang dia katakan sebelum ini, memang benar.

“Saya yang silap gara-gara terlalu mengikut kata hati. Berhenti kecam dia kerana Tauke tidak bersalah.

“Sekali lagi saya mohon maaf kepada suami,” tulis Nadia dalam catatan ringkas itu.

Pada 5 Januari lalu, Nadia menerusi laman sosial yang sama mendakwa, dia dan Tauke atau nama penuhnya, Zamratul Amri Zakaria, 42, sudah berpisah.

Nadia mendakwa, Tauke menceraikannya menerusi rakaman suara di aplikasi WhatsApp dan memaklumkan, pergolakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga.

Tauke bagaimanapun, menafikan dakwaan itu dan menyifatkan hubungannya dengan isteri sedang diuji.

Dia berkata, isterinya tidak dapat berfikir dengan matang kerana terlalu mengikut perasaan sehingga membuat kenyataan seperti itu di laman sosial.

Nadia dan Tauke mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang anak, Zamatul Khayla Aydina pada 26 Oktober lalu.

5910 dibaca
Berita Harian X