Sabtu, 12 Januari 2019 | 8:09pm
PELAKON, Nelydia Senrose, mengaku sudah bersedia untuk bergelar isteri. - Foto Rohanis Shukri

Nelydia beri bayangan kahwin tahun ini

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nelydia Senrose, memberi bayangan bakal menamatkan zaman solo dengan kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Hafiz, tahun ini.

Mengaku sudah bersedia untuk menjadi isteri, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 24, berkata dia turut memanjatkan doa jodohnya dipermudahkan ketika mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci, baru-baru ini.

"Jujur Nely akui, ketika di Makkah, memang Nely berdoa supaya dipermudahkan dalam soal jodoh. Malah, selepas pulang daripada umrah juga, Nely tetap mengharapkan agar diberi petunjuk dalam soal itu.

"Sepatutnya, perancangan untuk berkahwin dibuat pada tahun lalu. Bagaimanapun, berikutan sibuk dengan urusan kerja, selain ada sahaja halangan menjelma, niat murni itu tertangguh.

"Nely belajar daripada pengalaman dan selepas ini, apabila 80 peratus persiapan sudah dilakukan, barulah Nely bersedia untuk mengumumkannya. Insya-Allah, tahun ini juga," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Encik Suami Mat Salih Celup yang baru sahaja pulang ke tanah air, Ahad lalu, berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, di sini.

Tahun lalu, adik kepada pelakon, Uqasha Senrose, itu memuat naik foto sebentuk cincin di jari manisnya, sekali gus mencetuskan tanda-tanya dalam kalangan peminat.

Dia kemudian mengaku, cincin terbabit adalah pemberian Hafiz, yang juga seorang ahli perniagaan, sambil memaklumkan sudah bersedia untuk bergelar isteri pada usia muda.

Berita Harian X