Sabtu, 12 Januari 2019 | 6:06pm
PELAKON, Nad Zainal, mengaku belum bersedia untuk menimang cahaya mata kedua. - Foto Aziah Azmee

Nad belum sedia tambah cahaya mata

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nad Zainal, belum bersedia untuk menambah cahaya mata bagi memberikan tumpuan kepada usaha membesarkan anak sulungnya, Fahad Ibrahim, 2 tahun.

Nad, 28, dan suami, Muhammad Faliq Amirudin, juga tidak terburu-buru membesarkan keluarga mereka.

“Saya dan suami bersepakat untuk menangguh dulu perancangan mendapatkan anak kedua. Kehadiran Fahad sudah dikira melengkapi kehidupan kami, buat waktu ini. Jadi, biarlah dia membesar dulu.

“Mungkin apabila Fahad sudah memasuki usia tiga atau empat tahun, bolehlah kami mempertimbangkan rancangan untuk menambah zuriat,” kata Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2018 itu.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin juga baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ketiga, Disember lalu.


NAD bersama anak lelakinya, Fahad Ibrahim. - Foto IG Nad Zainal

“Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga cukup bahagia, seperti pasangan lain juga. Namun, rasanya masih jauh untuk kami mencapai kesempurnaan dalam hidup berumah tangga.

“Dalam hubungan suami isteri, pasti ada perkara yang belum kita kenali sepenuhnya berkaitan pasangan. Begitupun, setiap hari kita melalui proses pembelajaran untuk menuju ke arah lebih baik dan matang,” katanya.

Menurut Nad, jika diizinkan, dia dan suami akan meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, bulan depan, dengan bercuti ke Jepun.

“Kali ini, kami mahu mengembara berdua sahaja. Dua tahun lalu, kami tiga beranak pernah bercuti bersama-sama ke Korea.

“Ikutkan, saya sebenarnya teringin untuk membawa Fahad bersama. Begitupun, dia masih kecil untuk menikmati keseronokan di taman tema, contohnya. Sebelum ini, dia menangis ketika kami membawanya ke Legoland di Johor,” cerita Nad.

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Kajang, Selangor ini bakal muncul dengan telefilem, Kipas Belum Mati, terbitan Zeel Production.

Menerusi karya arahan Azmi Hatta itu, dia melakonkan watak Lyn yang begitu bersemangat menguruskan kelab peminat artis, Mya Zaryn (Fathia Latiff). Telefilem berkenaan akan menemui penonton sebuah saluran berbayar pada 19 Januari ini.

687 dibaca
Berita Harian X