Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:36pm
PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-40 di PWTC. - Foto Rohanis Shukri

Siti rai hari lahir bersama ibu

KUALA LUMPUR: Majlis sambutan ulang tahun ke-40 Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, malam tadi, ibarat serampang dua mata buat penyanyi tersohor itu apabila beliau turut meraikan hari lahir ke-67 ibunya, Siti Salmah Bachik.

Pada majlis penuh bermakna itu, Siti menghadiahkan wanita kesayangannya seutas gelang tangan emas.

"Hari jadi ibu Siti jatuh pada 31 Disember lalu dan kebetulan pada waktu itu Siti bercuti ke Dubai, bersama suami dan anak. Jadi, memang tak berkesempatan untuk meraikan hari lahirnya bersama-sama.

"Justeru, malam ini (malam tadi), Siti mengambil peluang majlis hari lahir Siti untuk sama-sama meraikan mak. Hadiah gelang emas itu pula Siti hadiahkan sebagai tanda kenangan buatnya.

“Siti pernah juga memberikan hadiah lain seperti beg tangan berjenama untuknya, tetapi dia jarang menggunakannya. Sebaliknya, mak Siti lebih selesa pakai beg biasa.

"Biasalah orang tua... Mak Siti pun memang seorang yang sangat ringkas dan bersederhana," kata penyanyi Anta Permana itu ketika ditemui pada majlis Celebrating Datuk Seri Siti Nurhaliza’s 40th Golden Year di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.


PENYANYI, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memotong kek hari lahirnya yang ke-40 sambil disaksikan suami dan ibunya (kiri) dalam majlis yang diadakan di PWTC, malam tadi. - Foto Rohanis Shukri

Ditanya mengenai hadiah daripada suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sempena hari jadinya kali ini, pemenang Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH 2012 itu agak keberatan untuk mendedahkannya.

"Memang suami ada memberikan Siti hadiah, tetapi rasanya tak perlulah Siti kongsi. Bagi Siti, kasih sayangnya selama ini sudah cukup untuk menjadi hadiah paling istimewa.

"Penat lelah dan usahanya menganjurkan acara malam ini juga sudah dianggap hadiah buat Siti. Jujurnya, Siti memang langsung tidak ambil tahu apa-apa mengenai majlis ini. Dialah yang menguruskan semuanya, termasuk soal jemputan dan sebagainya.

"Apabila Siti sampai tadi, memang terkejut melihat kemeriahannya dan rasa sangat terharu atas usahanya itu," ujar Siti yang kelihatan anggun dalam persalinan keemasan yang juga tema majlis.

Antara selebriti yang hadir memeriahkan acara ialah Fasha Sandha dan tunangnya, pelakon Aidil Aziz, Faizal Tahir, Nelydia Senrose, Jaclyn Victor, Hael Husaini, Farah Nabilah, Izara Aishah, Hisyam Hamid, Khai Bahar, Syafiq Farhain, Sissy Iman, Fara Hezel, Elvira Arul dan ramai lagi

Hari ini, sebuah lagi majlis meraikan penyanyi nombor satu negara itu dianjurkan, membabitkan kelab peminatnya, Sitizone.

1177 dibaca
Berita Harian X